Kakitangan Petronas dapat durian runtuh
Astro Awani
April 2, 2013 19:38 MYT
April 2, 2013 19:38 MYT
40,000 kakitangan Petronas mendapat durian runtuh apabila kerajaan bersetuju dengan keputusan Lembaga Petronas untuk memberikan pembayaran sekali sebanyak RM1,000 seorang.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika majlis pertemuan bersama kakitangan Petronas.
Najib berkata pembayaran RM1,000 itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua kakitangan kumpulan syarikat Petronas.
Dalam ucapannya juga Najib menjelaskan Petronas menyumbang RM1 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Negara tahun lepas.
Pada 2010, beliau berkata, Petronas menyumbang RM500 juta dan pada 2011, perbadanan itu menyumbang sebanyak RM1 bilion.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Najib mengumumkan Petronas menyumbang RM1 juta kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis.
Beliau turut mengumumkan Lembaga Petronas memutuskan untuk menyumbang RM20 ribu kepada keluarga setiap wira negara yang terkorban di Lahad Datu.