Kakitangan Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat positif COVID-19
Bernama
Oktober 27, 2020 05:51 MYT
Oktober 27, 2020 05:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak susulan terdapat satu kes positif COVID-19 yang telah dikesan melibatkan warga kerja di bahagian kaunter pejabat berkenaan.
Menurut Air Selangor dalam kenyataan semalam, warga kerja berkenaan telah menjalani kuarantin sejak 22 Okt lepas dan telah disahkan positif pada 4.30 petang semalam.
"Justeru, Pejabat Wilayah Kuala Langat akan ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak. Air Selangor sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan semua tindakan bagi mencegah penyebaran pandemik COVID-19 dilaksanakan dengan segera," katanya.
Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, Air Selangor telah melakukan tindakan antaranya termasuk usaha pengesanan kontak rapat untuk mengesan mana-mana warga kerja dan pelawat luar yang telah berurusan secara terus dengan warga kerja berkenaan dari 19 Okt hingga 22 Okt lepas.
"Individu tersebut akan dihubungi dengan segera dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari serta mendapatkan bantuan perubatan (ujian saringan COVID-19).
"Pejabat Wilayah Kuala Langat juga telah disanitasi sepenuhnya pada 5.30 petang tadi," menurut kenyataan itu.
Keselamatan kakitangan dan para pelanggan adalah keutamaan kami di Air Selangor dan sebarang informasi terkini akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor, katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Air Selangor
#Kuala Langat
#kes positif
#kakitangan
#warga kerja
#kaunter
#kuarantin
#sanitasi
#kontak rapat
#risiko
#pelawat