Kakitangan MBSP positif COVID-19
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 3, 2020 12:19 MYT
Disember 3, 2020 12:19 MYT
GEORGE TOWN: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Pulau Pinang hari ini disahkan positif Covid-19.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata pegawai tersebut disahkan positif semalam.
Menurut Rozali, pegawai berkenaan sebelum ini bertugas dan hadir ke pejabatnya di Menara Bandaraya pada 25 November lalu sebelum dimasukkan ke hospital enam hari kemudian.
Justeru, sebagai langkah pencegahan pihak pengurusan telahpun mengenal pasti semua kakitangan dan pegawai lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan dan mereka telah diarah bekerja dari rumah.
Sementara itu, Rozali berkata beberapa jabatan di Menara MBSP dan Jabatan Landskap Kampung Jawa telah ditutup sepenuhnya untuk kerja-kerja sanitasi secara menyeluruh.
"Untuk makluman orang awam, operasi MBSP di kaunter berpusat masih berjalan seperti biasa, dan bagaimanapun, mereka lebih digalakkan untuk membuat pembayaran atau mendapatkan lain-lain perkhidmatan MBSP secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Rozali menasihatkan penduduk Seberang Perai supaya tidak panik kerana keadaan adalah terkawal dan berada dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
#Majlis Bandaraya Seberang Perai
#mbsp
#Rozali Mohamud
#Menara Bandaraya
#langkah pencegahan
#kontak rapat
#Jabatan Landskap Kampung Jawa
#kerja sanitasi