Kakitangan MBPP, MBSP enggan divaksin berdepan ditamatkan perkhidmatan

Bernama
Oktober 22, 2021 06:15 MYT
Jagdeep berkata seramai 48 orang daripada 7,002 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang didapati enggan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 iaitu membabitkan 29 kakitangan MBPP dan 19 MBSP. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 akan dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, KerajaanTempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo.
Jagdeep berkata seramai 48 orang daripada 7,002 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang didapati enggan menerima suntikan vaksinasi COVID-19 iaitu membabitkan 29 kakitangan MBPP dan 19 MBSP.
"Pulau Pinang mengambil serius perkara ini. Bagi kakitangan yang masih enggan mendapatkan vaksin pada atau selepas 1 Nov 2021, tindakan tatatertib ataupun ditamatkan perkhidmatan boleh dikenakan ke atas mereka seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 4/2021," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata daripada 29 kakitangan MBPP itu, sembilan didapati tidak boleh menerima vaksin disebabkan masalah kesihatan, tujuh enggan mendaftar bagi menerima vaksin, 10 tidak yakin dengan vaksin manakala tiga lagi mempunyai masalah disiplin.
"Di MBSP, lima kakitangan didapati mempunyai masalah kesihatan, 10 menolak vaksin, tiga enggan mendaftar manakala seorang lagi rela bersara pada 1 Nov ini," katanya.
Sementara itu, Jagdeep berkata pembukaan kuota bagi permohonan pelantikan Ahli Majlis baharu MBPP dan MBSP bagi 2022 dibuka kepada badan bukan kerajaan (NGO) dengan borang permohonan boleh dimuat turun menerusi laman sesawang MBPP dan MBSP bermula semalam dan tarikh akhir pencalonan adalah pada 15 Nov ini.
Beliau berkata tempoh perkhidmatan bagi 48 Ahli Majlis sedia ada di kedua-dua PBT bagi 2021 itu akan tamat pada 31 Dis ini, maka urusan pelantikan Ahli Majlis baharu bagi 2022 perlu diselesaikan sebelum berakhir 2021.
"MBPP dan MBSP masing-masing mempunyai 24 Ahli Majlis membabitkan lapan daripada PKR, empat NGO, 10 DAP dan dua Amanah di MBPP manakala MBSP pula membabitkan sembilan daripada PKR, tiga NGO, 10 DAP dan dua Amanah," katanya.
-- BERNAMA
#vaksin #tindakan #antivaksin #pulau pinang
;