Kakitangan MBAS direman bantu siasatan rasuah berkaitan penyelenggaraan kompleks renang
Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2024 14:10 MYT
Mac 19, 2024 14:10 MYT
KANGAR: Seorang penjawat awam yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) direman lima hari sehingga 24 Mac hadapan bagi membantu siasatan terhadap dakwaan meminta suapan daripada kontraktor sebagai balasan untuk memperakukan siap kerja bagi kerja penyelenggaraan kompleks kolam renang berkenaan pada 2022 hingga tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Ahmad Hamdi Mustafar di Bilik Reman, Kompleks Mahkamah Kangar selepas suspek yang bertugas sebagai penyelia Kompleks Kolam Renang MBAS di Alor Setar itu dibawa ke mahkamah sekitar jam 9.55 pagi ini.
Sumber berkata, penahanan suspek berusia 55 tahun itu dilakukan selepas menerima laporan orang ramai berhubung tindakan suspek itu.
"Suspek dipercayai meminta rasuah sebanyak RM4,600 setiap bulan antara Oktober 2022 hingga Ogos 2023 daripada seorang pengurus sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan untuk memperakukan siap kerja bagi kerja penyelenggaraan kolam renang itu.
“Wang rasuah itu juga turut diminta bagi tujuan lain sepertibmembekal bahan kimia untuk kompleks kolam renang berkenaan,” katanya.
Menurutnya lagi, wang rasuah yang diminta itu kemudian akan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi milik suspek.
“Malah, kita percaya wang rasuah yang diminta oleh suspek sepanjang tempoh itu pula mencecah sebanyak RM100,000,” katanya.
Semalam, suspek ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di Kangar sekitar jam 3 petang selepas dibawa dari pejabatnya di Kompleks Kolam Renang MBAS di Alor Setar pada jam 11 pagi untuk diambil keterangannya.
Sumber berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan suspek terbabit.