Kakitangan Malindo Airways yang terjejas akan terima faedah SIP

Bernama
November 4, 2020 14:56 MYT
Malindo Airways melaksanakan pemberhentian pekerja melibatkan 2,647 orang sejak 1 Nov lepas. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan memastikan semua kakitangan syarikat penerbangan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Airways) yang terlibat dengan pemberhentian kerja, menerima faedah kehilangan pekerjaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata pekerja yang terlibat dinasihatkan supaya segera mengemukakan permohonan faedah SIP secara dalam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berhampiran.
"Pada masa sama, Perkeso akan membantu mereka dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs. Kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan (kemahiran baharu, meningkatkan kemahiran) yang disediakan oleh Perkeso atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), dengan yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malindo Airways melaksanakan pemberhentian pekerja melibatkan 2,647 orang sejak 1 Nov lepas.
Pihak majikan juga menawarkan notis cuti tanpa gaji (untuk tempoh satu tahun) kepada 439 kakitangan dengan harapan ekonomi kembali pulih dan mereka akan dipanggil bekerja semula manakala seramai 347 lagi ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), dan baki 1,861 pekerja diberi notis pemberhentian kerja dengan pampasan minimum di bawah Akta Kerja 1955.
Saravanan berkata pengurusan Malindo Airways telah menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk dua bulan iaitu bagi April dan Mei lepas.
"Bayaran ERP untuk April telah memberi manfaat kepada 2,112 pekerja yang melibatkan bayaran RM1.26 juta manakala bayaran ERP bagi Mei pula telah disampaikan kepada 2,478 pekerja yang membabitkan bayaran RM1.48 juta. Semua kakitangan yang menerima ERP ini tidak diberhentikan kerja pada bulan berkenaan," katanya.
Selain itu, katanya, Malindo Airways juga telah menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000 bagi Julai dan Ogos untuk 200 pekerja.
"Sementara itu, bagi 439 kakitangan Malindo Airways yang menerima notis cuti tanpa gaji (untuk tempoh satu tahun), mereka boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmatan mereka telah terputus dan seterusnya mengemukakan tuntutan kehilangan pekerjaan di bawah SIP, supaya mereka mendapat bantuan untuk kelangsungan hidup sementara mendapat pekerjaan baharu," katanya.
Saravanan berkata kementerian amat memahami dan prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja industri penerbangan di negara ini.
"Sektor penerbangan merupakan antara sektor yang paling terjejas sehingga kini disebabkan kekangan pergerakan penumpang dan juga pelancong dari dalam dan luar negara akibat penularan pandemik COVID-19.
"Pemulihan sektor ini dijangka mengambil masa yang lama sehingga 2023, memaksa majikan dalam industri penerbangan mengambil keputusan untuk melepaskan pekerja bagi mengelakkan syarikat menanggung kerugian berterusan," katanya.
-- BERNAMA
#malindo #Malindo Airways #Sistem Insurans Pekerjaan #Kementerian Sumber Manusia #M Saravanan #perkeso #MyfutureJobs #PSMB
;