Kakitangan mahkamah hilang: Polis belum temui petunjuk
Bernama
Februari 20, 2018 08:50 MYT
Februari 20, 2018 08:50 MYT
Polis belum menemui petunjuk berhubung misteri kehilangan kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Elias, sejak seminggu lepas, kata Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan.
Beliau berkata kenderaan Perodua Alza milik lelaki berumur 36 tahun itu ditemui tersadai di tepi jalan di Jenderam Hulu dekat Dengkil, Sepang pada petang Sabtu, dengan keadaannya sedikit berselerak.
Katanya, unit forensik telah dipanggil untuk mengesan cap jari dan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kenderaan tersebut setelah dibawa ke ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
"Beberapa dokumen milik mangsa antaranya surat pejabat dan peribadi di bahagian hadapan didapati berselerak walaupun kereta ditemui dalam keadaan berkunci.
"Unit anjing pengesan K9 juga telah menjalankan pencarian dalam jarak 100 meter dari kereta namun tidak menemui apa-apa (petunjuk)," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Rosly berkata kedai terdekat berada pada jarak 100 meter dari lokasi kenderaan itu ditemui dan tiada saksi yang terlihat kelibat mangsa.
Menurutnya, Azmee kali terakhir dilihat pada 12 Feb lepas (Isnin) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Menurut Rosly, isteri Azmee kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada pukul 10.45 malam 13 Feb di IPD Putrajaya.
Berita kehilangan Azmee tular di media sosial apabila orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai kehilangan mangsa ke balai polis berhampiran atau terus menghubungi keluarganya.
Sementara itu, isteri lelaki tersebut yang enggan dikenali, berkata beliau telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam usaha mencari suaminya.
"Saya juga mohon jasa baik semua pihak agar mendoakan suami saya selamat dan bantuan sampai kepadanya jika dia berada dalam kesusahan," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA