Kakitangan Klinik Kesihatan cedera ambulans dilanggar
Bernama
Oktober 24, 2018 09:17 MYT
Oktober 24, 2018 09:17 MYT
Dua kakitangan Klinik Kesihatan Gambang di sini, cedera apabila ambulans dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Segamat-Gambang di sini, pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian berlaku pukul 5.40 petang, semasa mangsa yang merupakan seorang jururawat dan seorang pembantu perawatan kesihatan dalam perjalanan mengambil pesakit.
Katanya, pemandu ambulans dan seorang doktor yang turut berada di dalam kenderaan itu tidak cedera.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV jenis Toyota Avanza melanggar sisi kiri ambulans di hujung pembahagi jalan ke arah Gambang.
"Pemandu MPV ketika itu hendak meneruskan perjalanan ke arah Tol Gambang yang terletak kira-kira 2 kilometer dari persimpangan itu semasa lampu isyarat masih hijau.
"Ambulans berkenaan pula sudah membunyikan dan memasang lampu siren semasa melalui persimpangan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kamarulzaman menambah kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Katanya, pemandu MPV berusia 36 tahun yang dalam perjalanan seorang diri dari Seremban ke Kuala Terengganu tidak cedera, walaupun bahagian hadapan keretanya remuk teruk.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#Ambulans
#Gambang
#Jalan Segamat-Gambang
#Kamarulzaman Jusoh
#kemalangan
#Klinik kesihatan
#lampu siren
#mangsa
#Pahang
#siasatan