Kakitangan KKM cedera pacuan empat roda terbabas
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 20, 2021 10:45 MYT
Oktober 20, 2021 10:45 MYT
IPOH: Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera setelah kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas di Jalan Jelapang-Taman Meru Perdana, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 7.29 pagi.
Menurut jurucakap itu, sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda milik KKM telah terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan.
"Terdapat seorang lelaki tersepit namun mangsa berusia 42 tahun yang cedera telah dikeluarkan orang awam.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Chemor ke tempat kerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," kata jurucakap itu.
Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.