Kakitangan kerajaan perlu kawal selia kendiri ketika guna akaun media sosial peribadi

Bernama
Jun 27, 2024 09:00 MYT
Mediha ketika menyampaikan syarahan bertajuk "Panduan Etika Penggunaan Media Sosial Untuk Penjawat Awam". - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Pemakaian Kod Kandungan 2022 oleh pengendali media sosial kerajaan amat penting kerana ia termasuk kawal selia kendiri dan amalan etika dalam kalangan penjawat awam dalam penggunaan media sosial peribadi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, pengendalian media sosial secara profesional harus dititikberatkan dalam memikirkan impak kepada golongan tertentu termasuk pekerja, keluarga dan juga diri sendiri.
"Perlu ada pemetaan empati dalam pengendalian media sosial serta memikirkan impak kepada golongan yang berbeza termasuk komuniti, keluarga dan diri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena Seminar Media Sosial untuk Kementerian dan Agensi Kerajaan 2024 (SOCIALGOV) yang julung kalinya dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini, pada Rabu.
Mediha menjelaskan perlunya pendedahan tanggungjawab sebagai pengendali media sosial untuk jabatan dan individu memandangkan impak kandungan yang menyalahi undang-undang bukan sahaja menjejaskan agensi tersebut tetapi juga individu terlibat.
"Perlu melepaskan perasaan peribadi semasa mengendalikan media sosial walaupun bukan perkara mudah. Antara langkah awal ialah tidak semua perkara perlu diberi maklum balas secepat mungkin dan ada perkara yang tidak perlu dijawab dalam media sosial, cukup dengan mengeluarkan kenyataan akhbar, katanya.
Memandangkan isu kandungan kecerdasan buatan (AI) dikatakan mengelirukan dan mencetuskan berita palsu, Mediha berkata CMCF bakal membuat penambahbaikan kepada Kod Kandungan 2022.
"Berikutan maklum balas daripada pihak berkepentingan, CMCF sedang melakukan penyelidikan dan penandaarasan untuk melihat apa yang dilakukan oleh bidang kuasa lain. Kita akan tengok sama ada Kod Kandungan mencukupi atau tidak, dan sekiranya ada jurang, maka mungkin terdapat keperluan untuk menyediakan peruntukan yang lebih baik untuk mengetatkan Kod Kandungan," katanya.
Kod Kandungan ditubuhkan pada 2004 dan merupakan satu set garis panduan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penyusunan kandungan disediakan CMCF di bawah naungan MCMC.
Kod itu kemudian ditambah baik pada 2022 meliputi semakan piawaian dan amalan terbaik berkaitan kandungan elektronik khususnya berhubung pengiklanan serta implikasi lebih luas untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Antara penambahbaikan penting melibatkan hak kanak-kanak dalam pengiklanan, hak Orang Kurang Upaya dan pelaporan beretika bagi kes bunuh diri. - BERNAMA
#Kod Kandungan 2022 #media sosial kerajaan #kawal selia kendiri #CMCF
;