Kakitangan fakulti perubatan UIA cemas merkuri tumpah

Bernama
Oktober 31, 2016 23:43 MYT
Kejadian jam 12.22 tengah hari itu menyebabkan timbul susasana panik dan cemas dalam kalangan petugas fakulti perubatan berkenaan sebelum bertindak menghubungi bomba. - Gambar hiasan
Enam anggota bomba dikejarkan ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Indera Mahkota di sini untuk melakukan kerja-kerja nyah cemar merkuri selepas termometer yang dipegang oleh seorang petugas fakulti itu terjatuh lalu pecah hari ini.
Pegawai Kanan Operasi Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata kejadian jam 12.22 tengah hari itu menyebabkan timbul susasana panik dan cemas dalam kalangan petugas fakulti perubatan berkenaan sebelum bertindak menghubungi bomba.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba dengan menggunakan peralatan khas yang disediakan oleh UIA telah bertindak membersihkan tumpahan merkuri itu dengan menggunakan bahan peluntur dan menyimpan termometer yang pecah itu dalam bekas tertutup bagi memastikan tiada lagi bahan itu mengalir.
"Operasi mengambil masa lebih dua jam dan bilik perubatan itu kembali beroperasi seperti biasa bermula jam 2 petang tadi," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, tiada petugas universiti berkenaan yang cedera dalam kejadian itu. - Bernama
#bomba #merkuri #Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali #pecah #UIA
;