Kakitangan BSN Sg Dua jalani ujian saringan COVID-19

Bernama
Oktober 22, 2020 21:48 MYT
Berikutan itu, semua petugas BSN telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 bimbang dijangkiti penyakit tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Bank Simpanan Nasional (BSN) Pulau Pinang mengesahkan kakitangan bank itu di cawangan Sungai Dua, di Butterworth dekat sini perlu menjalani ujian saringan COVID-19 selepas mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
Ketua Operasi BSN Negeri Pulau Pinang Malinda Ismail @ Che Pit berkata semua kakitangan berusia 27 hingga 34 tahun itu menjalani ujian saringan di hospital dan setakat ini pihaknya belum menerima keputusan.
"BSN cawangan Sungai Dua pada 13 Okt lalu telah menerima seorang pelanggan yang datang membuka akaun bank di situ dan wanita tersebut yang merupakan penghuni sebuah pusat jagaan orang tua di Pongsu Seribu telah disahkan positif pada 15 Okt lepas.
"Berikutan itu, semua petugas BSN telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 bimbang dijangkiti penyakit tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Klinik Tejani Medical di Tanjung Bungah, di sini ditutup sehari hari ini bagi proses sanitasi selepas terdapat seorang pelanggan yang datang ke klinik itu pada 14 Okt lalu disahkan positif COVID-19 hari ini.
Menurut kenyataan pengurusan klinik itu, semua kakitangan klinik telah menjalani ujian saringan COVID-19 manakala petugas yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif tersebut perlu menjalani kuarantin.
"Semua pesakit yang datang ke klinik itu sejak dua minggu lalu tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 kecuali jika mereka dihubungi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berbuat demikian," katanya.
Pihaknya sentiasa memastikan klinik itu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak KKM dan menjangkakan premis tersebut akan beroperasi semula esok.
-- BERNAMA
#Bank Simpanan Nasional #pulau pinang #ujian saringan #COVID-19 #BSN #cawangan Sungai Dua #Kementerian Kesihatan #KKM
;