Kaki wayang lepas rindu hari pertama pawagam dibuka

Faris Danial Razi
Julai 1, 2020 23:04 MYT
Menurut Pengurus Penjenamaan & Perhubungan Awam Golden Screen Cinemas (GSC), Sharmine Ishak, jumlah penonton yang datang sangat menggalakkan yang mana pembelian tiket secara atas talian lebih daripada apa yang dijangkakan. - Astro AWANI
Selepas 100 hari panggung wayang di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, hari pertama pembukaan semula pawagam ternyata memberi kelegaan kepada ‘kaki wayang’ yang ingin melepaskan rindu untuk menonton filem di layar perak.
Menurut Pengurus Penjenamaan & Perhubungan Awam Golden Screen Cinemas (GSC), Sharmine Ishak, jumlah penonton yang hadir amat menggalakkan yang mana pembelian tiket secara atas talian melebihi daripada apa yang dijangkakan.
Jelasnya, jumlah yang hadir pada hari pertama pembukaan semula pawagam melebihi ribuan pengunjung dan kesemua mereka seolah-olah tiada masalah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya rasa apabila bercakap soal kebersihan dan keselamatan, pelanggan dilihat sangat mementingkan penjagaan keselamatan sehingga ia menjadi keutamaan masing-masing.
“Pada masa sama, kami juga menggalakkan orang ramai untuk membeli tiket mereka secara atas talian,” katanya sewaktu ditemu bual oleh Astro AWANI di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bercakap mengenai SOP, katanya ia tidaklah terlalu berbeza berbanding premis-premis lain yang kini dibenarkan beroperasi semula.
“Jadi, SOP tidak begitu berbeza dari segi yang kita lihat di kedai runcit dan restoran. jadi akan ada perkara seperti pengimbasan dan juga pemeriksaan suhu.
“Kami juga menyediakan penanda di pawagam untuk amalan penjarakan sosial dan mengawal kemasukan orang ramai di kawasan utama,” tambahnya lagi.
Rata-rata pengunjung yang hadir pada Rabu ini, mereka berasa lega kerana harga tiket masih sama, malah terdapat beberapa promosi lain yang dapat dimanfaatkan seperti pembelian tiket serendah RM5 bagi filem yang pernah ditayangkan.
Bagaimanapun, had umur pada waktu ini hanyalah dibenarkan bagi mereka yang berusia 12 tahun ke atas dan warga emas adalah tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelakkan sebarang risiko.
Menurut Afieq Hakimi, 24, salah seorang pengunjung yang tidak mahu ketinggalan menjadi antara yang pertama keluar menonton wayang pada 1 Julai, meskipun ada perasaan risau, namun dia berasa terjamin dengan SOP ditetapkan.
“SOP yang ditetapkan ini dilihat mencukupi, sekurang-kurang kita tidak lagi perlu kekal berada di dalam rumah.
“Dengan ketetapan SOP ini, harap-harap semua orang dapat mengikuti SOP inilah, jaga penjarakan sosial.
“Saya dah lama sangat berada di rumah, dapat keluar menonton wayang ini rasa legalah sikit. Perasan risau itu adalah sedikit, tapi dengan SOP ini kita rasa terjaminlah,” jelasnya.
Selain kebenaran melakukan akitiviti pawagam, teater dan acara secara langsung di dewan tertutup sahaja.
Bagaimanapun jumlah kehadiran tidak boleh melebihi 250 orang tertakluk kepada saiz dewan serta perlu patuh pada SOP ditetapkan.
Selain itu, kerajaan turut membenarkan beberapa aktiviti lain seperti pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki untuk kembali beroperasi.
BACA: Riadah kolam renang, pawagam, mesyuarat dibenarkan - Ismail Sabri
BACA: Jangan alpa kelonggaran diberikan kerajaan
#COVID-19 #filem #koronavirus #normal baharu #operasi #pandemik #panggung wayang #pawagam #penjarakan sosial
;