Kaki, tangan dan kepala mangsa dibaham buaya di Pusa, Sarawak ditemui

Rudi Affendi Khalik
September 27, 2017 17:14 MYT
Operasi mencari mangsa serangan buaya di Kampung Hulu Tambak, Pusa yang memasuki hari ketiga hari ini berjaya menemui beberapa cebisan anggota badan mangsa, termasuk kepala.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa serangan buaya di Kampung Hulu Tambak, Pusa yang memasuki hari ketiga hari ini berjaya menemui beberapa cebisan anggota badan mangsa, termasuk kepala.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, cebisan anggota badan itu ditemui kira-kira 20 kilometer di hulu sungai, dari lokasi dia diserang.
"Sekitar jam 1 petang tadi, kita dimaklumkan pasukan SAR telah menemui anggota badan iaitu kaki kiri mangsa.
"Tepat jam 2.23 petang pula, pasukan terlibat menemui tangan kanan sebelum menemui kepalanya sekitar jam 3.05 petang.
Mangsa sebelum itu disambar buaya ketika sedang memancing dengan sepupunya di tebing Sungai Kuala Besar, Kampung Hulu Tambak, dekat sini sekitar jam 3.30 petang pada 24 September lalu.
Kejadian dikatakan berlaku terlalu pantas menyebabkan sepupunya yang berada pada jarak kurang satu meter di sebelah mangsa tidak dapat berbuat apa-apa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudian dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada jam 5.30 petang sebelum mengaktifkan gerakan SAR.
"Ketika ini operasi masih diteruskan untuk mengesan beberapa anggota badan lain mangsa yang masih hilang.
"Selain bomba, turut terlibat ialah anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan sekitar 100 penduduk kampung, dengan 20 bot persendirian dan satu bot pukat.
Identiti mangsa sebelum ini telah dikenal pasti sebagai Bentayan Ilah, 31 tahun.
"Setakat ini, anggota badan yang ditemui telah disahkan oleh keluarga mangsa," kata Ling Hii lagi.
#buaya #Kampung Hulu Tambak #operasi mencari dan menyelamat #SAR #serangan
;