Kaki pelajar tersepit besi penutup longkang di sekolah
Sinar Harian
Jun 15, 2023 15:58 MYT
Jun 15, 2023 15:58 MYT
SEPANG: Seorang pelajar perempuan terpaksa menahan kesakitan apabila kakinya tersepit lebih 10 minit pada besi penutup longkang di sebuah sekolah menengah di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 12.33 tengah hari.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 12.48 tengah hari.
"Mangsa merupakan pelajar perempuan Tingkatan Satu. Kakinya tersepit sehingga paras lutut setelah dipercayai terjerlus di besi longkang tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan kaki mangsa menggunakan peralatan khas.
"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kejadian itu," katanya. - Sinar Harian