Kaki kanak-kanak perempuan lima tahun tersepit jeriji longkang
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 8, 2021 20:46 MYT
Februari 8, 2021 20:46 MYT
BUTTERWORTH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 20 minit apabila kakinya tersepit pada jeriji longkang di Pangsapuri Sri Bagan, Kampung Bagan Dalam, Butterworth.
Dalam kejadian kira- kira jam 5.20 petang Isnin, kanak-kanak perempuan itu hanya mampu menangis selepas tergelincir sebelum diselamatkan pasukan bomba.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 5.21 petang.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan itu mendapati mangsa berada dalam keadaan terduduk dengan kaki kanannya termasuk dalam jeriji longkang.
"Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
"Beberapa minit kemudian kaki mangsa berjaya dikeluarkan seterusnya dia diberi rawatan awal. Dia hanya mengalami kecederaan ringan," katanya di sini hari ini.