Kaki kanak-kanak 4 tahun tersangkut dalam mangkuk tandas

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 12, 2021 17:02 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas selain syampu sebagai bahan pelincir untuk memudahkan proses mengeluarkan kaki mangsa. - Gambar ihsan Bomba
PERAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berdepan detik cemas selain terpaksa menahan kesakitan selepas kaki kanannya tersangkut dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Kimsar di sini, hari ini.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ahli keluarga mangsa pada pukul 12.55 tengah hari.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
Sebaik tiba anggota mendapati kaki kanak-kanak itu tersangkut dalam lubang tandas jenis mencangkung.
"Anggota bomba menggunakan peralatan khas selain syampu sebagai bahan pelincir untuk memudahkan proses mengeluarkan kaki mangsa.
'Kaki kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan difahamkan mangsa mahu menggunakan tandas namun secara tidak sengaja kakinya termasuk ke dalam lubang dan tidak dapat dikeluarkan" katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Operasi ditamatkan pada pukul 1.16 tengah hari.
#kaki kanak-kanak #tersangkut dalam mangkuk tandas #Taman Kimsar #Perai #Balai Bomba dan Penyelamat Perai
;