Kaki judi lari bertempiaran 'port' dalam ladang kelapa sawit diserbu
Adie Sufian Zulkefli
Jun 16, 2023 11:56 MYT
Jun 16, 2023 11:56 MYT
PENDANG: Seramai 20 orang yang sedang leka bermain judi bertempiaran lari apabila diserbu polis di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Titi Akar, di sini, pada Khamis.
Dalam serbuan jam 7.15 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya menahan 15 lelaki dan lima wanita dan merampas wang tunai RM28,624.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, ketika serbuan dilakukan, kesemua kaki judi itu sedang leka berjudi.
Fisol berkata, dalam serbuan itu juga, seorang lelaki tempatan berusia 53 yang dipercayai menjadi penganjur serta seorang lelaki berusia 59 tahun yang menjadi penaruh judi (congker) turut ditahan.
Katanya, kedua-dua suspek pernah ditahan sebanyak dua kali sebelum ini atas kesalahan sama.
“Kesemua tangkapan ini kita akan tuduh dibawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan,” kata Fisol.
Katanya, kesemua mereka ditahan berusia 18 hingga 78 tahun dan menjadikan kawasan ladang itu sebagai ‘port’ mereka sejak tiga tahun lalu.
Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Fisol berkata, bermula awal Januari sehingga 15 Mei lalu, sebanyak 955 serbuan menerusi ‘Op Dadu’ dilakukan dan berjaya menahan seramai 982 melibatkan kesalahan judi dalam talian (online), judi loteri awam tanpa lesen dan lain-lain.
Katanya, daripada tangkapan itu, sebanyak 955 kertas siasatan telah dibuka dan sebanyak 477 kes telah dituduh di mahkamah.