Kaki hampir hancur gara-gara disengat ulat bulu laut
Muhafandi Muhamad
Mei 20, 2019 07:00 MYT
Mei 20, 2019 07:00 MYT
Kaki hampir hancur dan berdepan dengan pemotongan kaki kerana bisa ulat bulu laut hingga menyebabkan seorang lelaki tidak dapat bekerja sejak hampir empat bulan lalu selepas disengat binatang berbisa itu.
Hamizi Hamzah, 39, dari Kampung Telaga Lanas, di sini disengat ulat bulu laut sewaktu ingin mencari tiram di dalam laut pada Februari lalu.
Sengatan haiwan berbisa itu menyebabkan isi daging di kakinya luruh dan bernanah selepas tiga hari.
“Hari kedua pergi hospital saya dapati ada nanah, dan doktor hendak potong sebab sudah jadi hitam,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Ketika mendapat rawatan di hospital, doktor yang merawat tidak dapat memberikan vaksin sebaliknya menawarkan untuk memotong kakinya.
Bagaimana pun beliau menolak dan menggunakan kaedah rawatan kampung yang sehingga kini menyebabkan kakinya beransur pulih.
Beliau menjelaskan, menggunakan kapsul mengandungi kisaran tulang angsa sebagai penawar bisa ulat bulu laut mampu menyelamatkan kakinya dari di potong.
Bapa kepada tiga orang anak ini masih tidak mampu bekerja kerana kesan luka yang parah pada kakinya.
Beliau kini hidup dalam kedaifan kerana tidak mampu bekerja dan mengharapkan ihsan orang ramai membantu dan menghulurkan sumbangan.
Beliau turut berkongsi petua orang tua supaya mencurahkan cuka masakan apabila terkena bisa sengatan ulat bulu laut itu bagi mengelakkan bisa menyerap ke tulang dan memburuk.