Kakak menggeletar dapat berita adik hilang dihanyut ombak

Nur Fazlizai Ali
Disember 27, 2020 18:15 MYT
Dua helikopter membabitkan lapan anggota polis dan bomba digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). -Gambar fail
MARANG: "Badan saya menggeletar selepas dimaklumkan adik saya hilang dikhuatiri lemas di Pantai Jambu Bongkok," kata Wan Faezah Wan Latif, 50.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangkakan kehadiran dua rakan serumah adiknya kira-kira jam 7.20 malam Jumaat lalu untuk memaklumkan mangsa tidak sihat.
"Saya tanya banyak kali sebab tidak percaya. Betulkah dia lemas? Ada orang nampak dia lemas? Saya jadi lemah, menggeletar... Suami segera pegang dan pimpin saya duduk di atas kerusi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pada Jumaat, Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang masih bujang hilang dan dikhuatiri lemas ketika beriadah bersama enam lagi rakannya di Pantai Jambu Bongkok, Marang.
Mangsa bersama rakannya dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan kira-kira jam 6 petang untuk mandi.
Bagaimanapun sejam selepas itu, mangsa dipercayai dipukul ombak besar yang datang secara tiba-tiba sebelum dihanyutkan ke tengah laut.
Wan Faezah yang juga kakak sulung berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya dua minggu lepas ketika mangsa berkunjung ke rumahnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarulzaman, berkata dua helikopter membabitkan lapan anggota polis dan bomba digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Operasi SAR ini secara keseluruhan membabitkan 92 orang daripada pelbagai agensi.
"Selain tinjauan udara, tiga buah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bomba selain lapan jet ski polis digunakan dalam operasi berkenaan," katanya di sini.
#lemas #Pantai Jambu Bongkok #hilang #ombak besar #Wan Faezah Wan Latif #Wan Nashaifudin Wan Latif #bomba #polis
;