Kakak maut, adik parah dalam kemalangan motosikal dengan lori
Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2024 05:00 MYT
Februari 19, 2024 05:00 MYT
ALOR SETAR: Seorang remaja perempuan maut manakala adik lelakinya berusia lima tahun cedera parah di kepala selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori di simpang Kampung Parit Buaya, Jalan Gunung Keriang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.10 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM Sport meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua mangsa beralamat di Kampung Semarang, Mukim Gunung, Alor Janggus, di sini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dimaklumkan terdapat satu kemalangan jalan raya berlaku di lokasi kejadian membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah lori.
"Hasil siasatan awal mendapati, motosikal yang dinaiki adik-beradik terbabit sedang bergerak dari arah lampu isyarat Alor Janggus menuju ke arah lampu isyarat Gunung Keriang, manakala lori berkenaan dari simpang jalan tali air.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal terbabit sedang bergerak lurus sebelum lori itu melintas dari simpang kiri ke simpang kanan di hadapan laluan, mengakibatkan penunggang tidak sempat brek lalu melanggar bahagian sisi kiri belakang lori berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Shukri berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut manakala kanak-kanak lelaki terbabit mengalami pendarahan di kepala dan sedang dirawat di hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Setakat ini pemandu lori terbabit sudah menyerah diri di balai polis," katanya.
#penunggang motosikal maut
#motosikal rempuh lori
#Hospital Sultanah Bahiyah
#Polis Daerah Kota Setar