'Kak Long' tiada sensitiviti, keterlaluan persenda OKU
Bernama
Mac 18, 2022 07:13 MYT
Mac 18, 2022 07:13 MYT
JOHOR BAHRU: Perbuatan seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Long' yang mempersendakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), menerusi video tular di media sosial baru-baru ini adalah keterlaluan dan tidak menjaga sensitiviti, kata Presiden Persatuan Sokongan Kebajikan Wawasan OKU Johor Bahru Jamaluddin Abdul Malik.
Beliau yang menyuarakan rasa kecewa dengan perkara itu, mendesak agar wanita berkenaan membuat permohonan maaf secara rasmi.
"Kita mahu wanita berkenaan memohon maaf secara rasmi dan bukan hanya menerusi hantaran di Facebook dia sahaja. Isu ini harus menjadi pengajaran kepada semua dan tidak seharusnya terjadi lagi... kena jaga sensitiviti," katanya pada sidang media, di sini semalam.
Beliau berkata isu itu juga akan dirujuk kepada Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi, bagi memastikan tindakan dapat diambil, sekiranya wanita berkenaan tidak membuat permohonan maaf.
Pada Khamis, Ras Adiba menerusi kenyataan berkata wanita berkenaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka dan melakukan aktiviti amal sebagai pengajaran.
-- BERNAMA