Kajian UNICEF, UNFPA bukan gambaran menyeluruh - Pakar

Astro Awani
Februari 20, 2021 08:35 MYT
Noor Azlan kecewa dengan sesetengah pihak yang menidakkan kejayaan negara dan meminta mereka bersikap adil dalam menilai keadaan sebenar di Malaysia. - Facebook Dr Noor Azlan Ghazali
KUALA LUMPUR: Kajian ‘Families on the Edge’ yang diterbitkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan UNFPA baru-baru ini tidak menggambarkan kedudukan keseluruhan sosio-ekonomi Malaysia ketika ini.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, beliau tidak menolak kaedah dan dapatan kajian berkenaan, tetapi ia bukan gambaran yang mencerminkan keadaan seluruh rakyat Malaysia.
“Laporan ini kena berhati-hati, kerana sampel ini juga termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, purata saiz keluarga 4-5 orang.
“Cuba bayangkan, awak buat kajian, awak himpun orang dalam kategori ini dan bertanya mereka pada hari ini, selepas kita berhadapan dengan krisis COVID-19.
“Bukan setakat mereka, kru kabin, jurutera, juruterbang pun ada masalah, apatah lagi golongan ini. Jadi, bagi saya, saya akan ambil laporan ini dalam konteksnya.
"Tidak mengapa, kalau UNICEF hendak membuat kajian terhadap kumpulan-kumpulan yang begitu rentan, seperti gelas yang sudah retak, dijentik sedikit, sudah terlerai.
“Jadi, kalau keluar tajuk yang menyatakan pendapatan jatuh 50 peratus, saya tidak menolak kewujudan kumpulan ini, tetapi saya menolak ini adalah gambaran keseluruhan negara kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual yang distrim di Facebook Majlis Profesor Negara pada Jumaat.
BACA: Isi rumah berpendapatan rendah terkesan sejak PKP 2.0 - Kajian UNICEF, UNFPA
BACA: Kajian UNICEF, UNFPA: Pendapatan isi rumah penengah meningkat 23 peratus berbanding tempoh PKP
Kemiskinan bandar | Kajian UNICEF bukan gambaran menyeluruh
Noor Azlan juga menyatakan bahawa sampel yang diambil dalam kajian berkenaan sudah tergolong dalam kategori kumpulan di bawah garis kemiskinan.
Beliau juga kecewa dengan sesetengah pihak yang menidakkan kejayaan negara dan meminta mereka bersikap adil dalam menilai keadaan sebenar di Malaysia.
Laporan 'Families on the Edge' yang diterbitkan pada awal Februari lalu antara lain mendapati kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah meningkat dua kali ganda kepada 15 peratus berbanding tiga bulan sebelumnya.
Kajian itu dilakukan pada Disember 2020, melibatkan 500 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat di Kuala Lumpur.
#Kanak-kanak #UNICEF #rakyat Malaysia #Facebook #Kuala Lumpur #ekonomi #OKU #rakyat #keluarga #Malaysia #COVID-19 #golongan miskin #Noor Azlan Ghazali #Kajian #Families on the Edge #laporan #UNFPA #sampel #pengangguran #PPR #kanak-kanak pinggiran #pendapatan
;