Kajian UNICEF, UNFPA: 1 daripada 5 murid hilang minat ke sekolah selepas PKP
Rahimah Abdullah
Oktober 30, 2020 12:14 MYT
Oktober 30, 2020 12:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mendedahkan, peratusan murid menengah atas yang tidak hadir ke sekolah agak membimbangkan semasa sekolah dibuka semula selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walaupun hadir ke sekolah, sebilangan besar murid hilang semangat dan minat untuk belajar selepas PKP.
Seorang daripada 5 kanak-kanak hilang minat untuk bersekolah.
Keadaan ini lebih buruk dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga ibu tunggal, dengan 1 daripada 4 tidak berminat untuk belajar.
Selain itu, ibu bapa berdepan cabaran untuk memastikan anak-anak mereka terus bersekolah, terutamanya bagi ketua isi rumah wanita.
Lebih kurang 60 peratus ibu bapa tidak cukup wang untuk membayar yuran sekolah, 65 peratus tidak mampu memberi wang saku kepada anak, 30 peratus tidak dapat menanggung kos pengangkutan dan 46 peratus sukar menyediakan pelitup muka.
Jika sekolah ditutup semula, pembelajaran dalam talian tetap menjadi cabaran utama kerana masalah kekurangan peranti yang sesuai di rumah.
Semasa PKP, lebih kurang 9 daripada 10 kanak-kanak menggunakan telefon bimbit sebagai peralatan pembelajaran sementara 8 daripada 10 tidak ada akses kepada komputer.
Kebanyakan ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka belajar dalam talian.
22 peratus daripada ketua isi rumah dan 29 peratus daripada ketua isi rumah wanita memberitahu mereka rasa tertekan atau mengalami keadaan emosi yang sangat tidak stabil.
42 peratus ketua isi rumah ini? dan 51% ketua isi rumah wanita begitu khuatir dengan keadaan kewangan mereka.
1 daripada 2 ketua isi rumah wanita dan lebih kurang 1 daripada 3 ketua isi rumah gusar tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan serta untuk pendidikan anak-anak mereka.
Pada masa sama, sesetengah ahli keluarga mengalami perubahan tingkah laku yang negatif.
3 daripada 10 ketua isi rumah wanita menghadapi cabaran baharu iaitu ahli keluarga yang mengalami ketegangan dan kemurungan.
Latar Belakang Kajian
Kajian pengumpulan data melibatkan 61,173 isi rumah di flat kos rendah melibatkan 500 ketua keluarga di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur dengan margin ralat 4.36% pada 95% tahap keyakinan.
Ia melibatkan PPR Intan Baiduri, PPR Taman Wahyu, PPR Beringin, PPR Kg Baru Air Panas, PPR Seri Alam, PPR Pantai, PPR Pantai Ria, PPR Kg Muhibbah, PPR Intan Baiduri, PA Setapak Jaya, PPR Seri Semarak, PPR Desa Rajang, PPR Seri Sabah, Flat Seri Johor, PPR Seri Kota dan PPR Desa Tun Razak.
Pengumpulan data dilakukan melalui temubual telefon dengan Ketua Isi Rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak di bawah 18 tahun bermula 1 September hingga 7 September 2020.
Pada Mei 2020, UNICEF dan UNFPA bersama-sama memulakan kajian untuk meneroka kesan krisis COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di bandar di Malaysia.
Laporan ini adalah yang kedua dalam siri laporan di bawah projek kajian Keluarga di Pinggiran.
Ia menghuraikan keadaan sosioekonomi 500 buah keluarga yang mempunyai anak di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur semenjak berakhirnya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mei 2020 yang lalu.
Laporan ini memberikan pemahaman yang kritikal kepada orang ramai dan pembentuk dasar ketika Malaysia cuba “bangkit semula dengan lebih baik”.
Laporan ini bertujuan membantu usaha Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung COVID-19 kepada kumpulan yang berisiko melalui kajian saintifik yang berkualiti untuk pemegang taruh membuat dasar jangka sederhana, pendek dan panjang. Keluarga di Pinggiran akan diteliti dalam tempoh sekurang-kurangnya 9 bulan bermula pada Mei 2020 sehingga awal 2021.
Sepanjang tempoh ini, data kualitatif dan kuantitatif akan dikumpulkan dalam empat pusingan.
Data yang terkumpul akan membantu kajian ini meneliti kesan sosioekonomi jangka pendek dan sederhana akibat COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dari keluarga bandar yang berpendapatan rendah.
Ini termasuk bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada serta yang baharu diperkenalkan dan bantuan khidmat sosial sejak pelaksanaan PKP.
Kajian ini akan diperkemaskan dengan bukti-bukti baharu serta menyelongkar isu-isu khusus dengan lebih mendalam dari masa ke masa.
Laporan pertama yang dilancarkan pada September 2020 telah menganalisis kesan langsung COVID-19 ke atas sosioekonomi golongan tersebut, dengan tumpuan pada kesesuaian, kecukupan, dan ketersediaan dasar utama untuk menangani COVID-19 serta khidmat sosial kritikal yang lain untuk kumpulan yang berisiko.
Laporan kedua ini adalah susulan daripada laporan pertama, yang kali ini menyemak perubahan penting dalam hidup mereka selepas pelbagaj sekatan di bawah PKP dilonggarkan, terutamanya kesan ekonomi dan emosi akibat COVID-19.
Laporan ini memberi tumpuan yang lebih terhadap kesan pandemik kepada kanak-kanak, ibu tunggal dan orang kurang upaya.
#UNICEF
#UNFPA
#Kajian
#flat
#Kuala Lumpur
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#pendidikan
#Kanak-kanak
#sekolah
#wanita
#keluarga