Kajian separuh penggal RMK12 dibentang di Dewan Negara hari ini

Bernama
September 20, 2023 14:20 MYT
Rafizi Ramli membentangkan usul KSP RMK12, yang menyaksikan Kerajaan Perpaduan menambah jumlah siling perbelanjaan RMK12 sebanyak RM15 bilion, untuk dibahaskan dalam mesyuarat khas dewan tertinggi yang akan bersidang selama empat hari. -Bernama
KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 yang menggariskan dasar dan inisiatif bagi memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI, hari ini dibentangkan di Mesyuarat Khas Dewan Negara.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membentangkan usul KSP RMK12, yang menyaksikan Kerajaan Perpaduan menambah jumlah siling perbelanjaan RMK12 sebanyak RM15 bilion, untuk dibahaskan dalam mesyuarat khas dewan tertinggi yang akan bersidang selama empat hari.
Beliau berkata KSP RMK12 memberi keutamaan dan penekanan baharu ke atas dasar, strategi dan inisiatif bagi pembangunan sosioekonomi serta langkah memantapkan tadbir urus negara dengan tiga tumpuan utama iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.
Berharap semua ahli Dewan Negara memberi kerjasama, sokongan dan merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan berlandaskan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dibentangkan kerajaan pada 27 Julai lepas.
"Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan negara adalah telus, adil dan saksama," katanya ketika membentangkan usul berkenaan.
Rafizi turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada ahli Dewan Rakyat yang telah meluluskan usul KSP RMK12 yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM415 bilion melalui undian suara selepas Kementerian Kewangan selesai membuat penggulungan semalam.
"Saya bersyukur usul KSP RMK12 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Sept lepas telah diluluskan Dewan Rakyat semalam, dan saya juga bersyukur kerana umumnya KSP telah disambut baik oleh semua pihak," katanya.
RMK12, dengan peruntukan RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 Sept 2021, merupakan fasa pelengkap rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025) ke arah mencapai status negara maju dan inklusif.
Penyediaan KSP RMK12 adalah untuk mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama (2021-2022) serta hala tuju 2023-2025, merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
KSP RMK12 memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penilaian dan semakan semula meliputi pencapaian, analisis jurang, cadangan penambahbaikan dan hala tuju.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perbahasan KSP RMK12 akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini, diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 25 dan 26 Sept.
Dalam masa sama, Wan Junaidi turut mengumumkan ahli-ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah semasa Majlis Mesyuarat dalam tangguhan serta mengikut jadual keenam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka yang terlibat adalah Senator Susan Chemerai Anding dan Senator Datuk Mustafa Musa pada 21 Ogos manakala Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada semalam.
-- BERNAMA
#Rafizi Ramli #Rancangan Malaysia Ke-12 #Mesyuarat Khas Dewan Negara #ekonomi madani
;