Kajian semula gaji minimum tahun depan

Harits Asyraf Hasnan
November 1, 2017 04:37 MYT
Kerajaan akan mengkaji semula perintah gaji minimum tahun depan. - Gambar hiasan
Kerajaan akan mengkaji semula perintah gaji minimum pada tahun depan selaras peruntukan Akta Perlindungan Gaji 2011 (Akta 732).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib berkata kajian itu akan dibuat setiap dua tahun oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).
"Kerajaan baru sahaja selesai membuat kajian semula perintah gaji minimum 2012. Setelah pertimbangan yang teliti oleh MPGN, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM900 sebulan di Semenanjung kepada RM1000 sebulan manakala RM800 sebulan kepada RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 1 Julai 2016.
“Kajian semula perintah gaji minimum pada masa akan datang ialah pada tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang meminta kerajaan menyatakan adakah pihak kementerian membuat kajian semula keseimbangan di antara skim gaji rakyat Malaysia bagi sektor swasta dan industri dengan kenaikan kos sara hidup terutama bagi penduduk yang tinggal di bandar.
Dalam pada itu, Ismail berkata, sejumlah 317 kes telah didakwa di mahkamah melibatkan pelaksanaan gaji minimum yang mana 195 daripadanya telah selesai.
Daripada jumlah itu, kata beliau ia melibatkan 607 pekerja tempatan manakala 180 pekerja asing dengan kutipan denda berjumlah RM648,000.
Justeru, katanya kerajaan akan meneruskan sesi perbincangan dengan syarikat-syarikat swasta bagi memastikan nasib pekerja terbela terutama dalam pelaksanaan gaji minimum yang ditetapkan.
#Akta Perlindungan Gaji 2011 #Datuk Hasbullah Osman #Datuk Seri Ismail Muttalib #gaji minimum #kos sara hidup #Majlis Perundingan Gaji Negara #MPGN #Parlimen #Timbalan Menteri Sumber Manusia