Kajian sahkan beras putih tempatan dicampur dalam beras import

Sinar Harian
Februari 26, 2025 14:40 MYT
Mohd Syahril ketika membentangkan hasil analisis yang dijalankan dalam satu sidang akhbar pada Rabu.
SERDANG: Sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Ia sekali gus menokhtahkan spekulasi bahawa BPT telah dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Mohd Syahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.
"Kami menerima sampel beras ini daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Mohd Syahril berkata, analisis itu dibuat bagi mengenal pasti hilangnya BPT di pasaran selaras dengan penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada tahun 2023.
Menurutnya, campuran beras itu dipercayai berlaku di peringkat pengilang di mana petani menanam padi menggunakan benih tempatan dan apabila dijual kepada pengilang, di situlah berlaku campuran beras import serta BPT.
Tambahnya, laporan penuh analisis beras berkenaan telah dihantar kepada pihak berkaitan.
Mengulas lanjut mengenai analisis yang dilakukan, Mohd Shahril menjelaskan pusat penyelidikan itu mempunyai profil rujukan capjari DNA bagi kebanyakan tanaman termasuk lebih 50 varieti padi.
"Teknologi Pencapjarian DNA ini mampu mengesan vareti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik.
"Setiap sampel beras di dalam kampit dibahagi kepada tiga bahagian iaitu atas, tengah dan bawah dan diambil secara rawak. Ia kemudiannya melalui proses pengekstrakan DNA dan kawalan kualiti.
"Analisis penskoran pula dijalankan menggunakan perisian GneMapper5/Typer4," katanya.
Mohd Shahril berkata, tiada akta yang menegah perbuatan campuran beras putih tempatan dan beras import.
"Pada masa ini, pusat penyelidikan ini bersama-sama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membincangkan peraturan baharu berkaitan beras putih tempatan dan beras import," katanya.
Polemik BPT yang 'ghaib' pasaran telah berlarutan lebih dua tahun lalu walaupun kementerian giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras.
Sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh memberi bayangan kemungkinan terdapat penglibatan kartel dalam industri tersebut termasuk penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih dan import. - Sinar Harian
#beras putih tempatan #beras import #Kajian #harga beras #terkini
;