Kajian pindaan Akta Orang Asli 1954 dimulakan tahun ini - Mahdzir

Bernama
Julai 21, 2022 04:32 MYT
Mahdzir berkata Akta Orang Asli 1954 tidak pernah dipinda sejak diwujudkan kecuali disemak pada 1974. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dijangka memulakan kajian berhubung pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pada tahun ini dalam usaha memberi perlindungan lebih baik kepada komuniti itu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kajian itu yang dijangka selesai pada 2025, perlu dibuat untuk memastikan terdapat peruntukan seksyen bersesuaian dalam akta bagi mendepani isu semasa.
Beliau berkata akta tersebut tidak pernah dipinda sejak diwujudkan kecuali disemak pada 1974, itupun hanya melibatkan semakan ke atas pertukaran nama Pesuruhjaya JAKOA kepada Ketua Pengarah manakala perkara lain tidak disentuh.
"Jadi saya lihat ada keperluan untuk buat pindaan. Dalam akta itu (Akta 134) ada 19 seksyen jadi kita hendak tengok seksyen-seksyen yang berkaitan (bersesuaian) dengan isu-isu semasa.
"Perkara ini akan dilihat oleh pegawai undang-undang kita kerana kalau boleh kita (kementerian) hendak cari jalan terhadap segala halangan atau masalah birokrasi dalam menyalurkan bantuan dan sebagainya, agar ia lebih mudah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli bersama Pemimpin di sini semalam.
Mahdzir berkata selain kajian akta itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) juga bersedia mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun pemimpin Orang Asli daripada RM900 ketika ini kepada RM1,500.
Ini susulan terdapat permintaan daripada Penghulu Orang Asli dari Kampung Orang Asli Chang di Bidor, Perak, Alshahin Deraoh untuk kerajaan menaikkan elaun itu, bersesuaian dengan keperluan semasa.
Mengenai langkah penjimatan perbelanjaan diambil oleh kerajaan, Mahdzir berkata ia sedang diteliti oleh pengurusan tertinggi KPLB dan agensi-agensi di bawahnya.
"Kita (KPLB) sudah dapat memo (pekeliling) itu tetapi kita tidak berapa jelas lagi mengenai projek yang hendak dilaksanakan atau tidak dilaksanakan.
"Saya ingat pengurusan tertinggi KPLB dan agensi sedang menelitinya secara menyeluruh dan dalam tempoh dua minggu, saya rasa barulah kita jelas dengan perkara (penjimatan) dimaksudkan," katanya.
Jumaat lepas, media melaporkan bahawa kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.
-- BERNAMA
#Mahdzir Khalid #Orang Asli #pindaan Akta Orang Asli 1954 #JAKOA
;