Kajian Pengundi Melayu Selangor: 68% puas hati prestasi Anwar, Kerajaan Perpaduan
Fareez Azman
Julai 14, 2023 10:30 MYT
Julai 14, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 peratus responden Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor yang dijalankan Endeavour-MGC berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, kajian yang dilakukan melalui persampelan rawak berstrata mulai 12 hingga 18 Jun lalu itu juga mendapati, 30 peratus responden tidak setuju berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Anwar manakala satu peratus tiada pendapat.
Dapatan kajian itu turut menunjukkan 68 peratus responden berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Perpaduan, 31 peratus tidak puas hati dan satu peratus tiada pendapat.
Tinjauan tersebut melibatkan 1,068 responden pengundi Melayu daripada keseluruhan 1,910,841 orang Melayu yang mendaftar sebagai pengundi di Selangor.
Kaji selidik itu dijalankan di 56 kawasan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan margin kesilapan keputusan adalah 3.0 peratus, dengan 95 peratus keyakinan setiap responden.
Daripada responden itu, 45 peratus merupakan golongan B40 yang berpendapatan RM4,850 ke bawah, 40 peratus dari golongan M40 dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, sementara 15 peratus golongan T20 yang berpendapatan RM10,959 ke atas.
Menyentuh aspek parti mana yang menjadi pilihan setakat 18 Jun 2023, tinjauan tersebut menunjukkan 42 peratus responden memilih Pakatan Harapan, manakala 33 peratus lagi memilih Perikatan Nasional.
Sebanyak 15 peratus responden pula memilih Barisan Nasional dan satu peratus memilih Parti Ikatan Demokratik Malaysia atau MUDA.