Kajian Pengundi Melayu Selangor: 68% puas hati prestasi Amirudin, KJ pilihan kedua calon MB
Fareez Azman
Julai 14, 2023 10:30 MYT
Julai 14, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor yang dijalankan Endeavour-MGC mendapati majoriti responden berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Memetik kaji selidik melalui persampelan rawak berstrata itu, 71 peratus didapati setuju dengan prestasi kerajaan negeri, manakala 28 peratus responden tidak bersetuju sementara satu peratus berkecuali.
Dapatan kaji selidik yang dijalankan bermula 12 Jun hingga 18 Jun lalu itu turut mendapati, 68 peratus responden berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Negeri Selangor diterajui PH.
Manakala, 31 peratus responden pula tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH Selangor dan satu peratus pula berkecuali.
Responden terbahagi kepada 50 peratus lelaki dan 50 peratus wanita dengan margin kesilapan adalah 3.0 peratus dan 95 peratus keyakinan setiap responden.
Kaji selidik itu dijalankan di semua 56 kawasan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor .
Empat puluh lima peratus merupakan responden dari golongan B40 berpendapatan RM4,850 ke bawah, manakala 40 peratus M40 dengan pendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959, sementara 15 peratus golongan T20 yang berpendapatan RM10,959 ke atas.
Tinjauan tersebut juga mendapati 46 peratus memilih Amirudin sebagai calon paling sesuai menjadi Menteri Besar Selangor selepas Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos depan.
Selain Amirudin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi pilihan kedua tertinggi, dengan 24 peratus memilih calon heavyweight Barisan Nasional di Parlimen Sungai Buloh pada pilihan raya umum yang lalu itu, untuk mentadbir Selangor.
Pilihan ketiga tertinggi dengan 10 peratus responden dalam kalangan pengundi Melayu tersebut, memilih Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Manakala enam peratus responden masing-masing memilih Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan bekas Menteri MITI, Datuk Seri Azmin Ali.