Kajian Pengundi Melayu Selangor: 63% rasa hak digugat, 89% bimbang kesan inflasi - EMGC

Fareez Azman
Julai 14, 2023 10:30 MYT
Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor yang dijalankan Endeavour-MGC mendapati 63 peratus responden merasakan hak mereka sedang digugat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor yang dijalankan Endeavour-MGC mendapati 63 peratus responden merasakan hak mereka sedang digugat.
Kaji selidik yang dijalankan bermula 12 hingga 18 Jun lalu, melibatkan 1,068 responden daripada 1.9 juta pengundi Melayu berdaftar di Selangor itu bagaimanapun, tidak menyatakan dengan lebih lanjut mengenai ‘siapa’ dan ‘apa’ yang menggugat hak responden.
Sementara itu, 35 peratus pula tidak bersetuju apabila ditanya berkaitan soalan ‘adakah hak anda sedang digugat oleh orang lain?’ dan dua peratus responden lagi menjawab 'Tidak tahu'.
Tinjauan pendapat tersebut dijalankan di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan pecahan responden mengikut jantina pula adalah seimbang 50-50 antara lelaki dan wanita.
Margin kesilapan keputusan adalah 3.0 peratus dengan 95 peratus keyakinan setiap responden.
Kaji Selidik: 63 peratus rasa hak digugat, 89 peratus bimbang inflasi
Empat puluh lima peratus merupakan responden dari golongan B40 berpendapatan RM4,850 ke bawah, manakala 40 peratus M40 dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, manakala 15 peratus golongan T20 yang berpendapatan RM10,959 ke atas.
Meskipun pelbagai inisiatif dilancarkan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup terutama Payung Rahmah, kajian tersebut menunjukkan majoriti besar responden (87 peratus) tidak mengetahui sebarang dasar atau inisiatif kerajaan yang bertujuan membendung inflasi atau mengurangkan kos sara hidup.
Hanya 13 peratus responden mengakui mengetahui inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Secara keseluruhannya, 89 peratus responden mengakui risau tentang kesan inflasi ke atas kewangan peribadi dengan pecahan 49 peratus responden 'amat risau' dan 40 peratus 'risau' dengan kesan inflasi.
[INFOGRAFIK] Tinjauan pendapat pengundi Melayu Selangor
#kaji selidik #PRN Selangor #pengundi Melayu Selangor #Endeavour-MGC
;