Kajian Pengundi Melayu Selangor: 42 peratus pilih PH, 33 peratus pilih PN - EMGC
Fareez Azman
Julai 14, 2023 10:30 MYT
Julai 14, 2023 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor mendapati 42 peratus responden Melayu memilih Pakatan Harapan (PH) manakala 33 peratus lagi memilih Perikatan Nasional (PN) untuk diundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.
Dapatan kaji selidik yang dijalankan itu juga menunjukkan 15 peratus responden memilih Barisan Nasional (BN) sementara satu peratus memilih Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Pada masa sama, tiada responden yang memilih Parti Pejuang Tanah Air sementara sembilan peratus responden memilih untuk menjawab 'Tidak Tahu'.
Kajian dijalankan Endeavour-MGC bermula 12 hingga 18 Jun lalu.
Menyentuh aspek pertimbangan yang paling penting dibuat apabila mengundi pada PRN Selangor kali ini, 61 peratus responden bersetuju keputusan dibuat berdasarkan faktor parti.
Manakala 28 peratus responden pula memilih faktor individu atau calon, tujuh peratus berdasarkan latar belakang agama.
Tiga peratus responden pula memilih berdasarkan faktor ekonomi dan satu peratus responden memilih berdasarkan kaum.
Kaji selidik yang dijalankan melalui persampelan rawak berstrata itu melibatkan 1,068 orang responden daripada 1,910,841 pengundi Melayu yang berdaftar di Selangor.
Ia terbahagi kepada 50 peratus responden lelaki dan 50 peratus wanita dengan margin kesilapan keputusan adalah 3.0 peratus.
Kaji selidik itu dijalankan di semua 56 kawasan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Empat puluh peratus merupakan responden dari golongan B40 berpendapatan RM4,850 ke bawah, 40 peratus M40 dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, sementara 15 peratus golongan T20 yang berpendapatan RM10,959 ke atas.