Kajian pemikir muda demi alam, antaranya elak kepupusan ungka, harimau Malaya
Ridauddin Daud
November 27, 2021 11:22 MYT
November 27, 2021 11:22 MYT
KUALA LUMPUR: Usia mereka mungkin masih muda, namun iltizam untuk menyumbang idea, tenaga, keringat kepada masyarakat dan negara merentasi segalanya.
Berbekalkan ilmu, kepakaran dan semangat membara, mereka menyusun langkah, memulakan kajian ilmiah yang bukan sahaja membantu negara bahkan dunia juga.
Nama mereka mungkin tidak begitu dikenali namun kajian mereka diramal mampu membantu Malaysia dan kerana itu, mereka terpilih sebagai penerima Geran Anugerah Merdeka untuk tahun 2021.
Salah seorang penerima ialah pensyarah, Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar, yang menjalankan kajian ‘stem cell’, dengan impian mahu mengelak kepupusan harimau Malaya.
Beliau adalah antara lima penerima yang menerima Geran Anugerah Merdeka 2021 bagi Penempatan Antarabangsa pada Jumaat.
Menyedari hakikat haiwan itu bakal berdepan kepupusan, Wan Nor Fitri berharap usahanya itu mampu memastikan generasi akan datang masih dapat melihat harimau, secara realiti, bukan menerusi cerita-cerita.
“Kepentingan yang sangat utama terhadap harimau Malaya adalah, populasinya yang sangat kritikal iaitu kurang daripada 200 ekor yang berada di habitat asal.
“Saya rasa ini adalah satu misi yang sangat kritikal terutamanya kepada rakyat Malaysia, kepada negara, kepada semua yang boleh menyumbang kepada konservasi harimau Malaya.
"Antara impian saya adalah untuk melihat populasi harimau Malaya ini ada kelestariannya.
“Lestarinya adalah sehingga mungkin tidak sampai kepada saya sahaja tapi kepada anak, cucu dan generasi lain untuk melihat keindahan alam, keindahan harimau Malaya tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan anugerah tersebut.
Bagi seorang lagi penerima, Prof Madya Dr Nur Adlyka Ainul Annuar pula, beliau menyedari kajian astronomi yang dijalankannya terutama berkaitan lohong hitam agak asing buat rakyat Malaysia.
Begitupun, beliau tetap bersemangat untuk meneruskannya kerana katanya, kajian sebegitu mungkin impaknya tidak kelihatan dalam masa terdekat namun untuk 20 ke 30 tahun akan datang, kesannya pasti tiba.
“Biasanya dalam kajian ini kita nampak ia menyumbang kepada pembangunan teknologi. Contohnya pada tahun 1970an, seorang saintis bangunkan teknik untuk analisis mengesan lohong hitam.
“Tapi masa itu dia tidak dapat mengesan lohong hitam namun 20 tahun kemudian, dalam 1990 dia sedar bahawa teknik itu boleh digunakan utk buat ‘wireless networking’.
“Itu menyumbang kepada pembangunan ‘wifi’. Sebenarnya ‘wifi’ mungkin tiada hari ini tanpa kajian lohong hitam,” ujarnya.
Dr Aini Hasanah Abd Mutalib pula, beliau menumpukan kajiannya kepada ungka dan siamang di Tasik Kenyir yang mana spesis haiwan itu kini diancam kepupusan.
“Adalah tugas kami untuk berikan pendedahan kepada masyarakat tentang kelestarian alam sekitar dan apa yang mereka boleh buat untuk bantu kelestarian alam sekitar.
"Ungka dan siamang adalah haiwan yang diburu. Jadi, kami sentiasa beri informasi melalui media sosial tentang bahaya menjadikan haiwan ini sebagai haiwan peliharaan,” ujarnya.