Kajian pelupusan kereta terbiar, usang akan dilaksana - KPKT

Bernama
Februari 5, 2021 05:03 MYT
Isu pelupusan kereta usang itu telah dibangkitkan Zuraida ketika melawat MPKj yang merupakan sebahagian siri lawatannya ke PBT. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kajian akan dilaksanakan bagi memantapkan sistem pengurusan pelupusan kereta terbiar dan mencari kaedah pelaksanaan terbaik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melupuskan kereta usang.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya berkata, kajian itu akan melibatkan lima PBT terpilih termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin turut meminta PBT mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat terhadap pelupusan kereta usang," menurut kenyataan itu.
Isu pelupusan kereta usang itu telah dibangkitkan Zuraida ketika melawat MPKj yang merupakan sebahagian siri lawatannya ke PBT.
Selain itu Zuraida turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta bagi inisiatif pembinaan dan menaik taraf kawasan komuniti, ruang perniagaan dan tarikan pelancongan setempat di kawasan MPKj.
Antara projek yang terlibat adalah menaik taraf kemudahan rekreasi di Bukit Broga, Hulu Langat; membaik pulih bumbung di Dewan Komuniti Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dan meroboh serta membina gerai perniagaan yang rosak akibat kebakaran di Taman Perkasa, Hulu Langat.
-- BERNAMA
#Zuraida Kamaruddin #kereta #lupus kereta #kereta terbiar #KPKT
;