Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam untuk kenal pasti punca banjir kilat di Kota Bharu
Bernama
November 26, 2023 13:05 MYT
November 26, 2023 13:05 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di jajahan Kota Bharu untuk mengenal pasti punca kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Datuk Izani Husin berkata kajian ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebagai rujukan dalam merancang infrastruktur saliran serta mengenal pasti langkah-langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang secara komprehensif bagi menangani kejadian banjir kilat.
"Selain itu, kerajaan negeri juga melalui perunding yang dilantik telah menghasilkan Pelan Hidrologi dan Sistem Saliran Bandar bagi kawasan pembangunan bandar Baru Tunjong dan kawasan sekitar untuk mengatasi banjir dan sistem perparitan.
"Kita juga membina dan menaik taraf longkang dan saliran sedia ada di semua kawasan tadahan dan dasar (invert level) sebagaimana yang diperakukan kajian hidrologi dan sistem saliran," katanya menjawab soalan Tuan Shaari Mat Yaman (PAS-Bunut Payong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.
Mengulas lanjut, Izani berkata kerja-kerja menaik taraf Sungai Seribong, Kota Bharu dan tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) S5K bagi dijadikan saliran utama mengalirkan air ke Laut China Selatan serta meninggikan aras pelantar tapak di kawasan pembangunan agar semua tapak berada pada aras selamat banjir.
-- BERNAMA