Kajian koleksi surat Sultan Abdul Hamid beri manfaat kepada masyarakat, negara

Bernama
Ogos 27, 2024 14:20 MYT
Kajian dan penyelidikan yang lebih lanjut ke atas Koleksi Surat-menyurat Sultan Kedah ke-26 Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah boleh memberikan impak sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara.
ALOR SETAR: Kajian dan penyelidikan yang lebih lanjut ke atas Koleksi Surat-menyurat Sultan Kedah ke-26 Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah boleh memberikan impak sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Ringkasan AI
  • Kajian ke atas Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid Halim Shah boleh memberi manfaat besar kepada masyarakat dan negara, serta memberi motivasi kepada masyarakat untuk mencontohi pentadbiran baginda.
  • Koleksi ini diiktiraf sebagai warisan dunia oleh UNESCO pada September 2001 kerana keistimewaannya sebagai kumpulan surat-menyurat manuskrip Melayu yang bernilai dan tersusun.
  • Koleksi ini mengandungi maklumat penting mengenai sejarah Kedah, termasuk peralihan kuasa Siam dan kemasukan British, serta surat-surat kepada kerajaan Siam dan pegawai Inggeris.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata ia mampu memberi semangat dan motivasi kepada masyarakat hari ini untuk mencontohi pentadbiran baginda dalam mengurus tadbir negeri Kedah.
Beliau berkata kepimpinan Sultan Abdul Hamid boleh diaplikasikan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola sama ada di peringkat jabatan mahupun Persekutuan.
"Koleksi ini banyak mengandungi maklumat penting dan gambaran yang jelas mengenai sejarah negeri Kedah sewaktu peralihan kuasa Siam dan kemasukan British dalam pentadbiran negeri.
"Surat-surat yang terkandung dalam koleksi ini meliputi surat kiriman baginda Sultan Abdul Hamid dan pembesar negeri kepada kerajaan Siam, pegawai Inggeris termasuk Residen Inggeris di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Gabenor Negeri-Negeri Selat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) di sini hari ini.
Aaron berkata Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid ialah satu koleksi penting di Malaysia yang mendapat pengiktirafan dunia dan diwartakan sebagai warisan dunia "Memory of the World Register" pada September 2001 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau berkata pemilihan koleksi surat-menyurat itu sebagai warisan dunia dipengaruhi keistimewaannya sebagai satu-satunya kumpulan surat-menyurat manuskrip Melayu yang begitu bernilai dan tersusun jika dibandingkan dengan koleksi manuskrip surat-menyurat kerajaan lain di Gugusan Kepulauan Melayu silam.
Sementara itu, Ketua Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dalam ucapannya berkata Koleksi Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid berjumlah 2,951 helaian adalah sebahagian daripada koleksi surat-menyurat zaman pemerintahan baginda yang menaiki takhta pada 21 Jun 1882.
Menurut Jaafar Sidek, Sultan Abdul Hamid memerintah Kedah hingga 1943 iaitu selama 61 tahun dan berjaya mempertahankan kedaulatan Kedah daripada kuasa Siam dan British dengan pendekatan berdiplomasi mengikut kepentingan keadaan pada masa itu.
-- BERNAMA
#Sultan Kedah ke-26 #Sultan Abdul Hamid #koleksi surat #Aaron Ago Dagang