Kajian kesihatan reproduktif dan seksual remaja akan dijalankan di Sarawak
Bernama
Mei 18, 2014 12:06 MYT
Mei 18, 2014 12:06 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Seksual Remaja di Sarawak.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata hasil maklumat yang diperoleh daripada kajian sama yang dilakukan di Semenanjung pada 2011, kementerian mendapat maklumat yang empirikal terhadap fenomena masalah reproduktif dan sosial dalam kalangan remaja pada masa kini.
"Objektif bagi kajian ini adalah untuk mengkaji prevalens tingkah laku seksual yang tidak sihat yang dilakukan remaja, mengenal pasti faktor-faktor risiko berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif remaja dan mengenal pasti faktor-faktor pelindung berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif remaja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sambutan Hari Guru dan Hari Jururawat anjuran Bank Rakyat Cawangan Sri Aman, di sini.
Mengulas lanjut, Rohani yang juga anggota Parlimen Batang Lupar berkata hasil kajian itu akan dijadikan asas dan panduan ke arah membentuk generasi muda yang sejahtera.
"Saya ambil contoh, hasil kajian yang dilaksana pada 2011 itu, tujuh faktor utama yang telah dikenal pasti mampu menangani isu kesihatan seksual dan reproduktif dalam kalangan remaja iaitu sosiodemografi, kawalan dalaman, keluarga, rakan sebaya, sekolah, komuniti dan media," katanya.
Kesimpulannya, faktor keluarga dan komuniti memainkan peranan yang penting kerana kedua-dua faktor ini merupakan faktor pelindung yang boleh mencegah masalah kesihatan reproduktif dan seksualiti dalam kalangan remaja.
Elemen ini dapat diperkukuhkan lagi dengan memberi pengetahuan dan kemahiran mengenai seksualiti dan kesihatan reproduktif kepada remaja, katanya. -- Bernama