Kajian impak pastikan kelestarian Payung Rahmah - Armizan

Madiha Abdullah
Ogos 6, 2023 13:15 MYT
Armizan berkata, ini penting bagi memastikan kemampanan dan kelestarian inisiatif itu, sekali gus membolehkannya diteruskan. - Foto BERNAMA
BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan kajian impak berhubung inisiatif Payung Rahmah.
Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini penting bagi memastikan kemampanan dan kelestarian inisiatif itu, sekali gus membolehkannya diteruskan dengan lebih berkesan di masa hadapan.
"Kita mahu program ini bertahan dan diteruskan, jadi kita tengah menilai dan membuat kajian bagaimana mahu mendapatkan kerjasama lebih banyak pihak.
"Kita akan merangka strategi menerusi kajian ini, yang kita akan laksanakan dengan pihak tertentu supaya kita dapat menggerakkan program ini secara berterusan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Jualan Ehsan Rahmah (JER) Peringkat Negeri Selangor, pada Ahad.
Armizan juga memaklumkan pelaksanaan inisiatif Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sudah pun bermula, susulan penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta yang dimumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.
"Dengan penambahan peruntukan, kita akan dapat menambah kekerapan iaitu mengikut DUN, bukan lagi sekadar parlimen bermula serta merta.
"Selain pelbagai program dan usaha untuk memulihkan ekonomi, ini juga langkah intervensi untuk mengurangkan impak isu kos sara hidup," tambahnya.
Dengan penambahan peruntukan tersebut, Armizan berkata pihaknya kini mensasarkan jualan dan keterlibatan akan semakin meningkat.
Setakat 31 Julai, Program Jualan Rahmah peringkat persekutuan merekodkan 2.1 juta pengunjung, melibatkan nilai jualan kira-kira RM50 juta.
#inisiatif Rahmah #kos sara hidup #Armizan Mohd Ali #kpdn
;