Kajian ID Digital Nasional bermula September
Rahimah Abdullah
Ogos 26, 2019 17:20 MYT
Ogos 26, 2019 17:20 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menjalankan kajian untuk mengenal pasti rangka kerja ID Digital Nasional bermula bulan depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kajian selama sembilan itu akan menyarankan model pelaksanaan yang sesuai serta memenuhi keperluan rakyat, perniagaan dan negara.
“Ia akan mengambil kira konteks unik Malaysia termasuk infrastruktur MyKad dan swasta yang sedia ada sambil mengenal pasti dasar-dasar baru yang diperlukan.
"Selain daripada melaksanakan transaksi atas talian dengan lebih selamat dan mudah, ID Digital Nasional juga akan menyediakan lebih banyak akses kepada produk dan perkhidmatan,” katanya semasa berucap merasmikan Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS) di Pusat Internet Daerah (PID), Beranang pada Isnin.
ID Digital Nasional, katanya, mampu membantu pengguna berurus niaga secara selamat dan lancar.
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memantapkan infrastruktur digital yang sedia ada supaya rakyat di negara ini dapat menikmati faedah-faedahnya.
"Bagi memastikan rakyat Malaysia yakin berhadapan dengan aktiviti ekonomi digital, saya ingin mengambil peluang di sini untuk memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan ID Digital Nasional, yang mampu membantu pengguna berurus niaga secara selamat dan lancar,” ujarnya.
Dalam sidang media selepas itu, Gobind memaklumkan, kementeriannya akan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan sepanjang kajian dilakukan.
Hasil kajian juga, jelas beliau, akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
“Proses sembilan bulan ini kita akan berbincang dengan semua terlibat supaya semua cadangan daripada industri boleh kita mendengar masalah termasuk isu keselamatan dan sebagainya.
“Itu semua perkara yang kita bincangkan dan pertimbangkan sebelum kita buat keputusan berkenaan model-model yang kita nak lihat. Saya akan bawa ke peringkat Kabinet,” tambah beliau lagi.
#Gobind Singh Deo
#ID Digital Nasional
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#SKMM
#Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia