Kajian hala tuju ECRL akan ditentukan dalam masa terdekat

Bernama
Oktober 4, 2018 04:57 MYT
Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mengumumkan kos projek ECRL yang menghubungkan Kelantan-Terengganu-Pahang dengan Pelabuhan Klang, Selangor adalah sebanyak RM55 bilion.. - Gambar fail
Kajian yang sedang dilakukan terhadap hala tuju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sama ada meneruskannya atau tidak, akan ditentukan dalam masa terdekat ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, pada Rabu Kabinet ada membincangkan secara ringkas mengenai projek tersebut dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta diberi sedikit masa untuk melihat kewajaran ECRL ini.
"Dalam projek ECRL kita harus melihat apakah projek ini boleh mencipta nilai dan memberi kebaikan kepada rakyat dalam keadaan ekonomi yang amat gawat pada hari ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertemuan bersama kepimpinan PKR Negeri Kelantan di sini, pada Khamis.
Mohamed Azmin berkata kerajaan sedang menimbang hala tuju projek ini kerana proses pelaksanaannya sebelum ini tidak telus sebagai contoh sejumlah pembayaran telah dibuat dalam keadaan projek belum bermula.
"Sejumlah hampir RM20 bilion telah pun dibayar dalam keadaan kemajuan projek ini masih di tahap paling minimum dan ini satu perkara yang harus disiasat," katanya.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan kos projek ECRL yang menghubungkan Kelantan-Terengganu-Pahang dengan Pelabuhan Klang, Selangor sebanyak RM55 bilion.
Sementara itu, mengenai pemilihan PKR peringkat pusat dan cabang bagi penggal 2018-2021, Mohamed Azmin yang merupakan calon jawatan Timbalan Presiden parti itu mengingat perwakilan supaya tidak terjebak dengan amalan rasuah dalam memilih pemimpin.
Walaupun beliau tidak ada bukti kegiatan itu berlaku hanya sekadar dimaklumkan oleh pihak tertentu, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan tersebut.
"Kita mahu bina parti yang bersih subur dengan etika nilai-nilai yang murni dan sebagai pemimpin kita harus memberi peringatan dan nasihat kepada semua supaya perjalanan parti ini dilakukan dengan sempurna," katanya yang dicabar oleh Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
-- BERNAMA
#ECRL #ekonomi #hala tuju #kabinet #Mahathir Mohamad #Mohamed Azmin Ali #pemilihan PKR #PKR Kelantan #projek #rakyat #Rasuah
;