Kajian EMGC: Amirudin lebih popular berbanding Azmin dan Ahmad Yunus

Firdaus Azil
Ogos 5, 2023 07:30 MYT
76 peratus responden pelbagai bangsa, 69 peratus responden berbangsa Melayu mahu Datuk Seri Amirudin Shari terus kekal menjadi Menteri Besar Selangor.
KUALA LUMPUR : Tinjauan Pengundi Kerusi Marginal DUN Selangor mendapati 76 peratus responden pelbagai bangsa, 69 peratus responden berbangsa Melayu mahu Datuk Seri Amirudin Shari terus kekal menjadi Menteri Besar Selangor.
Dalam tinjauan yang dilakukan antara 22 hingga 28 Julai, 2023 oleh Endeavour-MGC (EMGC) di 34 kerusi marginal itu, 22 peratus responden pelbagai bangsa dan 29 peratus responden Melayu merasakan jawatan itu perlu disandang orang lain.
Sebagai perbandingan, Amirudin dari parti Pakatan Harapan terus menjadi pilihan responden kedua-dua kategori berkenaan, diikuti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mendapat 13 peratus sokongan responden pelbagai bangsa dan 16 peratus responden Melayu; bekas Menteri Kanan Persekutuan serta bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (8 dan 10 peratus) dan bekas Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dari Pas (4 dan 6 peratus).
Turut mendapat sedikit sokongan ialah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dari DAP; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dari PKR; bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dari UMNO.
Sementara itu, 61 peratus responden pelbagai bangsa dan 58 peratus responden berbangsa Melayu memilih parti sebagai faktor utama untuk mereka memilih calon, diikuti faktor seperti individu, agama, ekonomi, dan bangsa.
Menurut badan penyelidik itu, tinjauan dilakukan ke atas 1,068 peserta kajian pelbagai bangsa melalui kaedah persampelan rawak berstrata, di 34 kerusi marginal DUN Selangor dengan jumlah sampel populasi seramai 2,006,569 pengundi, dan 724 peserta kajian berbangsa Melayu dengan jumlah sampel populasi seramai 1,359,683 pengundi.
Dalam tinjauan yang dilakukan antara 22 hingga 28 Julai, 2023 itu, peserta kajian pelbagai bangsa di 34 kerusi marginal tersebut terdiri daripada kaum Melayu sebanyak 67.8 peratus; Cina (15.6 peratus); India (12.4 peratus; dan lain-lain (4.2 peratus).
Selain itu, 45 peratus berpendapatan B40 diantara RM4,850 ke bawah, manakala 40 peratus dari golongan M40 pendapatan diantara RM4,850 hingga RM10,959 dan 15 peratus golongan T20 pendapatan RM10,959 ke atas.
Dalam pada itu, 54 peratus responden pelbagai bangsa dan 56 peratus responden Melayu amat khuatir dengan kesan inflasi ke atas kewangan peribadi. 41 peratus responden pelbagai bangsa dan 40 peratus responden Melayu pula agak khuatir, dan selebihnya sedikit khuatir.
Sedikit membimbangkan ialah 70 peratus responden pelbagai bangsa dan 68 peratus responden Melayu dari keseluruhan 1,068 peserta kajian itu tidak mengetahui dasar atau inisiatif Kerajaan bagi membendung inflasi atau mengurangkan kos sara hidup.
Berikut adalah keputusan penuh Tinjauan Kerusi Marginal DUN Selangor oleh Endeavour-MGC:
#Kajian EMGC #Menteri Besar Selangor #Amirudin Shari #Azmin Ali #Ahmad Yunus Hairi
;