Kajian EMGC: 73 peratus responden Selangor puas hati prestasi Kerajaan Perpaduan
Firdaus Azil
Ogos 5, 2023 07:00 MYT
Ogos 5, 2023 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sekitar 73 peratus responden pelbagai bangsa bagi Tinjauan Pengundi Kerusi Marginal Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, 64 peratus responden berbangsa Melayu di 34 kerusi marginal tersebut turut berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan, manakala baki 36 peratus tidak berpuas hati.
Selain itu, Perdana Menteri turut mendapat sokongan 73 peratus responden pelbagai bangsa, dan 64 peratus responden berbangsa Melayu.
Menurut badan penyelidik itu, tinjauan dilakukan ke atas 1,068 peserta kajian pelbagai bangsa melalui kaedah persampelan rawak berstrata, di 34 kerusi marginal DUN Selangor dengan jumlah sampel populasi seramai 2,006,569 pengundi, dan 724 peserta kajian berbangsa Melayu dengan jumlah sampel populasi seramai 1,359,683 pengundi.
Dalam tinjauan yang dilakukan antara 22 hingga 28 Julai, 2023 itu, peserta kajian pelbagai bangsa di 34 kerusi marginal tersebut terdiri daripada kaum Melayu sebanyak 67.8 peratus; Cina (15.6 peratus); India (12.4 peratus; dan lain-lain (4.2 peratus).
Selain itu, 45 peratus berpendapatan B40 diantara RM4,850 ke bawah, manakala 40 peratus dari golongan M40 pendapatan diantara RM4,850 hingga RM10,959 dan 15 peratus golongan T20 pendapatan RM10,959 ke atas.
Dalam pada itu, kajian itu menyebut, 76 peratus pengundi pelbagai bangsa di 34 kerusi marginal tersebut bersetuju dengan kerjasama strategik yang dicapai gabungan PH dan BN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 2022.
Anwar terus menjadi pilihan mereka sebagai Perdana Menteri dengan mendapat sokongan 52 peratus responden pelbagai bangsa dan 46 peratus responden Melayu, diikuti Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 18 peratus responden pelbagai bangsa dan 26 peratus responden berbangsa Melayu; dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan 6 peratus responden pelbagai bangsa dan 6 peratus responden berbangsa Melayu.
Berikut adalah keputusan penuh Tinjauan Kerusi Marginal DUN Selangor oleh Endeavour-MGC: