Kajian Ekonomi OECD: Malaysia di landasan tepat, mampu capai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2028

Firdaus Azil
Ogos 27, 2024 16:15 MYT
Rafizi ketika melancarkan laporan Kajian Ekonomi OECD bagi Malaysia untuk tahun 2024 hari ini.
PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mengatasi beberapa negara anggota Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di rantau ini dari segi pertumbuhan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita, dengan purata pertumbuhan sekitar enam peratus sejak 1960.
Menurut laporan Kajian Ekonomi OECD: Malaysia 2024 yang diterbitkan pada Selasa, negara ini berada di landasan yang betul untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, dengan jangkaan melepasi nilai ambang Bank Dunia pada 2028.
Bagaimanapun, menurut kajian itu lagi, negara perlu menangani beberapa cabaran khusus, termasuk melonggarkan peraturan yang ketat, serta mewujudkan medan lebih seimbang antara perusahaan milik kerajaan dan sektor swasta, bagi mengukuhkan pertumbuhan dan produktiviti.
OECD berkata, usaha berkenaan dijangka dapat memberi kelebihan kepada sistem perkhidmatan, selain perusahaan kecil dan sederhana, yang selama ini dilihat sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, dengan peningkatan pendapatan negara, kerajaan perlu meningkatkan perkhidmatan awam sesuai dengan kehendak semasa, dan berbeza dengan polisi yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Sektor awam perlu mempunyai sistem penyampaian yang lebih berkesan, dan lebih efektif, dan ini memerlukan tadbir urus ekonomi yang lebih baik,” menurut kajian itu lagi.
Kajian Ekonomi OECD bagi Malaysia untuk tahun 2024 telah dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli di Putrajaya, pada Selasa.
Selain itu, OECD berkata, ada keperluan untuk merapatkan jurang dalam penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat, yang jelas memerlukan perbelanjaan yang lebih besar.
Ketika ini kajian itu menyebut, peningkatan populasi masyarakat menua (ageing society) menambahkan lagi tekanan terhadap keperluan tersebut, kerana sebilangan besar kumpulan berkenaan tidak mampu menyediakan keperluan asas untuk mereka sendiri.
Peralihan kepada ekonomi hijau dan lebih mampan juga memerlukan penyediaan dana pelaburan yang lebih besar.
“Penyediaan kewangan yang kukuh untuk membiayai tujuan ini, dengan cara memperluaskan lagi sistem pencukaian, bakal menjadi satu cabaran besar dalam tahun-tahun yang mendatang, dan kemajuan berkaitan ketika ini masih belum jelas kelihatan,” menurut kajian itu lagi.
#Keluaran Dalam Negara Kasar #OECD #laporan Kajian Ekonomi #Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi
;