Kajian cuti haid, subsidi tuala wanita dijangka selesai Oktober - Siti Zailah
Firdaus Azil
Julai 20, 2022 11:05 MYT
Julai 20, 2022 11:05 MYT
KUALA LUMPUR: Pengenalan cuti haid memerlukan penelitian dan libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sumber Manusia, kesatuan-kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, proses pengenalan cuti itu bukan sahaja tentang kesejahteraan wanita, tetapi juga melibatkan implikasi ekonomi negara.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu memberitahu Dewan Rakyat hari ini, buat masa ini, kajian melibatkan 57,000 responden tentang cuti haid dan subsidi tuala wanita sedang dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober.
"Buat masa ini, ada cuti sakit, cuti rehat kepada pekerja, sama ada di sektor swasta atau awam," katanya ketika menjawab soalan Charles Santiago (DAP-Klang).
Charles bertanya mengenai rancangan kerajaan memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita, sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Siti Zailah berkata, kemiskinan haid secara relatifnya merujuk kepada situasi individu yang tidak mendapat akses tuala wanita sebab kekangan kewangan.
“Kementerian berpandangan kajian lanjut perlu dilaksanaknan berhubung subsidi tuala wanita, bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu ini, khususnya b40.
“Selain itu dapatan kajian juga membolehkan satu pendekatan komprehensif bersasar, bagi menangi isu ini, dan kajian itu dijangka siap pada oktober,” tambahnya.
Siti Zailah mengakui, negara-negara maju sudah ke depan dalam melaksanakan cuti haid bagi kesejahteraan wanita.
Katanya lagi, jika kajian tersebut sudah selesai dan didapati mempunyai kepentingan yang signifikan, ia akan dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Bank Dunia pada 2018, yang menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperoleh keperluan asas sewaktu haid atau turut diistilahkan sebagai "kemiskinan haid".
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, kementerian setakat ini sudah membelanjakan RM2.39 juta, iaitu 77 peratus daripada bajet yang disediakan, untuk menyediakan tuala wanita kepada pelajar sekolah B40, serta program bersifat pendidikan tentang kebersihan.