Kajian Cent-GPS 'cacat', berunsur hasutan dan perkauman - DAP
Hasimi Muhamad
Mac 11, 2019 13:04 MYT
Mac 11, 2019 13:04 MYT
DAP mengkritik sebuah kajian yang dikeluarkan Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) sebagai berunsur hasutan dan perkauman, yang mana ia seolah-olah menyasarkan majikan Cina.
Anggota pasukan penyelidik parti DAP, Faiz Mustafa dalam satu kenyataan berkata secara metodologi berlaku kecacatan dalam kajian itu apabila terdapat perbezaan ketara dalam keputusan akhir - dimana ia lebih menjurus kepada “agenda politik perkauman”.
“Kajian tidak jujur seperti ini sedikit demi sedikit tidak memperbaiki keadaan sekarang sebaliknya menimbulkan ketakutan kepada masyarakat dan terus memburukkan hubungan antara kaum.
“Kajian seperti ini perlu dikaji secara kritikal dan orang ramai perlu dididik dengan lebih baik untuk membezakan kajian sains sosial palsu yang bertujuan untuk melontarkan pandangan dalam dunia mereka,” demikian menurut Faiz, pada Isnin.
Kajian yang dijalankan oleh Cent-GPS baru-baru ini mendedahkan bahawa wanita tidak bertudung lebih mudah untuk mendapat panggilan temu duga kerja, berbanding mereka yang memakai tudung.
Selain itu, kajian itu juga mendakwa tujuh resume yang dihantar dan mempunyai kelayakan, pengalaman, keupayaan berbahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin yang sama, cuma berbeza dari segi kepercayaan agama.
Daripada tujuh calon itu, dua calon Cina menerima paling banyak panggilan temu duga, masing-masing 240 dan 179 panggilan.
Mengulas lanjut, Faiz berkata bilangan resume yang digunakan (tujuh) sebagai sampel untuk permohonan kerja adalah terlalu sedikit memandangkan banyak faktor yang perlu diuji.
“Perlu ada resume terkawal untuk memastikan eksperimen sebenarnya mengukur apa yang dimaksudkan dan bukan disebabkan oleh faktor lain. Sebagai contoh, gambar pemohon yang dimasukkan, kajian yang dikendalikan sepatutnya dilakukan tanpa gambar untuk melihat perbezaan.
“Begitu juga dengan menggunakan satu siri gabungan kaum dan jantina kerana tiada kepastian mengenai faktor tertentu yang mempengaruhi eksperimen tersebut,” katanya lagi.
Faiz menegaskan, kajian Cent-GPS mungkin dapat dilakukan dengan lebih baik sekiranya ia dilakukan dengan satu siri foto generik melibatkan sekelompok kecil individu, kedudukan mereka berdasarkan sistem metrik, dan menggunakan resume dan gambar bagi mewakili bangsa yang berlainan, bukannya menggunakan satu untuk setiap jantina dan bangsa sahaja.
“Pengarang juga gagal mengawal reka bentuk resume. Perekrut boleh menolak calon bertudung begitu sahaja hanya atas sebab reka bentuk resume tersebut tidak kelihatan begitu profesional,” katanya lagi.