Kajian beras MyCC dapati tiada elemen bertentangan undang-undang persaingan
Bernama
Februari 24, 2025 22:30 MYT
Februari 24, 2025 22:30 MYT
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bagaimanapun berkata kajian am itu tidak akan dibentangkan di Parlimen. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kajian mengenai industri padi dan beras di negara ini yang dilaksanakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak menemukan sebarang elemen bertentangan dengan undang-undang persaingan sedia ada.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bagaimanapun berkata kajian am itu tidak akan dibentangkan di Parlimen.
"Sekiranya ada keperluan mana-mana ahli Yang Berhormat yang memerlukan taklimat khusus berkaitan laporan ini semasa sesi Parlimen ini, kita akan mengadakan taklimat khas," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata hasil kajian itu telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Dis 2024 dan sebarang pendedahan kepada umum tertakluk kepada bidang kuasa MyCC sendiri.
Sementara itu, Armizan berkata KPDN telah dan sedang melaksanakan tujuh tindakan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS).
"Antaranya mewajibkan penggunaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) di rantaian bekalan minyak masak peket bersubsidi meliputi peringkat kilang penapisan, syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit. Langkah ini bagi merekodkan setiap transaksi pengedaran dan penjualan," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan naziran dan audit kepada semua syarikat pembungkus untuk memastikan pematuhan syarat.
Armizan berkata menerusi audit yang dilaksanakan pada 2024, sebanyak 16 syarikat pembungkus telah digantung kuota dan 30 syarikat pembungkus ditarik kuota sepenuhnya kerana melanggar syarat-syarat pemegang kuota COSS.
Selain itu, KPDN turut melaksanakan mekanisme pengezonan, iaitu penyusunan kawasan berlandaskan keperluan negeri dan daerah dengan program rintis telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
"Bagi Semenanjung (mekanisme pengezonan) akan bermula pada tahun ini," katanya.
-- BERNAMA