Kajian bentuk model penjagaan warga emas - Wan Azizah
Wan Syamsul Amly
Februari 7, 2019 14:00 MYT
Februari 7, 2019 14:00 MYT
DR WAN AZIZAH: Kita buat satu kajian yang menyeluruh sekarang ini, ramai anak yang mengabaikan dan mereka bekerja serta tidak ada kesempatan untuk menjaga ibu bapa. - Gambar fail
Kajian diagnostik akan dijalankan untuk membentuk model penjagaan warga emas jangka panjang yang bersepadu dan mampan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia sekali gus akan memperbaiki Pelan Tindakan Warga Emas Negara di bawah di bawah Dasar Warga Emas.
"Kita buat satu kajian yang menyeluruh sekarang ini, ramai anak yang mengabaikan dan mereka bekerja serta tidak ada kesempatan untuk menjaga ibu bapa sebab mereka sendiri pun tertekan dengan ekonomi dan kehidupan mereka.
"Jadi kita tengok secara menyeluruh sebab kalau menghukum namun tidak menyelesaikan masalah pun salah juga," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pusat asuhan harian dan latihan untuk kanak-kanak kelainan upaya, Tasputra Perkim di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), P Waythamoorthy mahu cadangan mewujudkan undang-undang hukum anak yang abai dan dera ibu bapa dikaji dengan terperinci terlebih dulu sebelum dilaksanakan.
Beliau berkata ini kerana kini sudah ada undang-undang berkaitan mengikut Kanun Keseksaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh sebelum ini dilaporkan akan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mengesyorkan penggubalan akta baharu lindungi institusi keluarga.
Jelasnya, rundingan itu akan dibuat dengan kumpulan sasar iaitu wakil warga emas, keluarga, masyarakat, ahli akademik serta kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
#Dasar Warga Emas
#dera
#Hannah Yeoh
#Kanak-kanak
#Kanun Keseksaan
#model
#P Waythamoorthy
#undang-undang
#Wan Azizah
#wanita
#warga emas