Kaji tambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah - Hajiji

Bernama
Oktober 1, 2024 22:10 MYT
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sudah tiba masanya kajian dilaksana bagi menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah perlu mempertimbang beberapa faktor berkaitan pemilihan kerusi Parlimen bagi memenuhi kuota 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sudah tiba masanya kajian dilaksana bagi menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah.
Beliau berkata jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini ditambah 13 daripada 60 sekali gus menyaksikan sebanyak 73 kerusi dipertanding semasa Pilihan Raya Negeri ke-16 pada November 2022.
"Saya fikir sudah cukup syarat untuk kita mengkaji bilangan tambahan kerusi Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 ke-30 Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.
Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022 menyaksikan 25 kerusi Parlimen dipertanding di Sabah.
Hajiji berkata Sabah dan Sarawak telah menyuarakan hasrat itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada 12 Sept lepas.
Beliau juga berkata beberapa siri perbincangan antara Sabah dan Sarawak diadakan bagi memastikan kuota itu dikembalikan kerana ia amat diperlukan.
"Insya-Allah, kita kena lihat dari segi keadaan kawasan kependudukan dan keluasan untuk Sabah. Ini juga untuk imbangan serta memastikan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak diambil kira apabila membuat atau memperkenal sesuatu Perlembagaan dalam Parlimen," katanya.
Hajiji berkata Sabah juga ada mencadangkan pertambahan kerusi bagi memenuhi kuota itu namun tidak menyatakan jumlahnya.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengembalikan kuota 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada kedua-dua negeri.
-- BERNAMA
#kaji #tambahan bilangan kerusi #Parlimen #Sabah #Hajiji Noor
;