Kaji SOP aspek keselamatan di lokasi sasaran pengganas - Zahid Hamidi

Wan Syamsul Amly
April 14, 2016 16:11 MYT
Prosedur tersebut perlu dibuat kerana sasaran yang sentiasa berubah-ubah oleh pengganas sejak sekian lama. - Gambar fail
Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan di lokasi-lokasi sasaran strategik pengganas akan sentiasa dikaji demi menjamin keselamatan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia perlu dibuat kerana sasaran yang sentiasa berubah-ubah oleh pengganas sejak sekian lama.
Jelasnya, ia pendekatan berbeza sejak 40 tahun lalu yang dilihat hanya menumpukan aset kerajaan.
"Aspek keselamatan terhadap sasaran penting yang dikuatiri diabaikan kerana apabila jawatankuasa ini dibuat 40 tahun lalu, ia hanya disasarkan kepada aset kerajaan yang dahulunya merupakan ancaman keganasan komunis.
"Tetapi apabila banyak aset-aset itu telah diswastakan atau dikorporatkan maka ada tanggapan seolah-olah ia bukan lagi disasarkan penting kerana jumlahnya bertambah dan bertukar tangan kepada pihak swasta," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan 2016, 'Sasaran penting terpelihara, mensejahterakan rakyat' di sini hari ini.
Jelasnya lagi, pengurusan keselamatan di Instilasi Sasaran Penting adalah berdasarkan lanskap, ancaman dan keterdedahannya yang tersendiri.
"Kerajaan akan memastikan pengurusan keselamatan perlindungan Sasaran Penting seluruh negara sentiasa diberikan perhatian serius serta menjadikannya agenda utama demi memelihara kesejahteraan rakyat, kewibawaan perkhidmatan dan pentadbiran.
"Seminar ini penting demi jalinan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan dapat membentuk perancangan dan strategi yang mantap bagi memastikan pengurusan keselamatan sasaran penting negara sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman global," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi #Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek keselamatan di lokasi-lokasi sasaran strategik pengganas akan sentiasa dikaji demi menjamin keselamatan negara
;