Kaji semula undang-undang lapuk alam sekitar - Wan Junaidi
Astro Awani
Disember 30, 2016 17:26 MYT
Disember 30, 2016 17:26 MYT
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru semua agensi di bawah kementerian itu dapat mengkaji semula undang-undang lapuk yang menghalang kemajuan sesuatu projek.
Dalam amanatnya sempena Tahun Baharu 2017, beliau berharap kajian semula undang-undang tidak relevan bagi memastikan isu alam sekitar dapat ditangani dengan sebaiknya.
“Malah menjadi salah satu indikator yang diambil kira oleh Bank Dunia dalam laporan Easy of Doing Business Report yang akhirnya mampu meningkatkan daya saing negara dalam usaha menarik minat para pelabur ke Malaysia,” kata Wan Junaidi dalam kenyataan medianya hari ini.
Pada masa yang sama, beliau mahu isu yang sering diperdebatkan seperti aktiviti penguatkuasaan, terus dipertingkatkan.
“Saya ingin menyeru agar aktiviti penguatkuasaan dapat dipertingkatkan lagi bagi membanteras aktiviti jenayah hidupan liar, pembalakan haram, pembukaan tanah secara haram dan pencemaran sumber air,” ujarnya.
Selain itu, melalui perkhidmatan bantuan teknikal oleh Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan, NRE akan memastikan pesalah- pesalah laku alam sekitar dikenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan.